Padah sembunyi mayat bayi dalam mesin basuh sebelum tanam

Iklan
Yuni Widya Sari dijatuhi hukuman denda RM10,000.. Foto Bernama

KANGAR – Tindakan seorang pengasuh warga Indonesia menyembunyikan mayat bayi lelaki dalam mesin basuh sebelum menanam anaknya itu mengundang padah apabila Mahkamah Majistret di sini menjatuhinya hukuman denda RM10,000.

Yuni Widya Sari, 28, dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Nurshahida Abdul Rahim.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan wanita itu dipenjara selama 15 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Menerusi keputusan penghakiman yang dimuat naik dalam sistem kehakiman dan diperoleh media pada Selasa, Nurshahida berkata, tertuduh melakukan kesalahan yang bertentangan dengan sosial dan agama.

Iklan

Beliau berkata, tindakan tertuduh tidak wajar dan ia boleh menjadi barah yang membunuh keharmonian masyarakat, maka wajar bagi mahkamah memandang berat atas kesalahan dilakukan.

"Mahkamah meneliti fakta kes, tertuduh panik setelah mendapati bayi lelaki yang dilahirkan tidak bergerak.

Iklan

"Dia kemudiannya membalut dan menyimpan bayi itu di dalam mesin basuh sebelum mengebumikan mayat berkenaan keesokan harinya,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan rayuan yang dikemukakan, jelas menunjukkan tertuduh mencapai usia yang matang dan mempunyai tahap pemikiran waras.

Katanya, tertuduh juga memohon maaf atas kesilapan dilakukan dan mengakui tidak berfikir panjang semasa melakukan kesalahan tersebut.

Menurutnya, mahkamah mengenakan hukuman yang munasabah supaya tertuduh sedar dan insaf atas perbuatannya.

Nurshahida berkata, mahkamah mempertimbangkan tertuduh ke negara ini untuk menyara kehidupan keluarga yang berada di Indonesia.

"Di sini dia tiada tempat bergantung menyebabkannya hilang pertimbangan semasa melakukan kesalahan berkenaan.

"Walaupun begitu, mahkamah masih mempertimbangkan bahawa tindakan tersebut adalah tidak wajar, jadi hukuman denda dikenakan adalah munasabah dan setimpal bagi memberikan kesedaran kepadanya,” katanya lagi.

Sebelum ini, pengasuh berasal dari Medan, Indonesia itu mengaku bersalah pada 11 Januari lepas atas tuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menyembunyikan kelahiran dengan cara mengebumikan mayat seorang bayi lelaki yang dilahirkan di sebuah rumah di sini, pada jam 6.30 pagi, 21 Disember tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, pihak tertuduh merayu dikenakan hukuman ringan kerana mengaku insaf, kesal dan tidak akan mengulangi kesalahan berkenaan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman dengan mengambil kira kepentingan awam.

Pada 3 Januari lalu, media melaporkan seorang guru menemukan satu mayat bayi lelaki yang cukup sifat dan dibungkus dalam kain putih selepas menghidu bau busuk berdekatan kediamannya.

Hasil siasatan mendapati bayi itu masih bertali pusat, tertanam di kawasan terbuka dan tidak berpagar.