Mangsa banjir di Kedah meningkat 675 orang petang ini

Iklan
Pandangan dari udara situasi banjir di Kampung Padang Luar, Kubang Pasu hari ini. Foto Bernama

JITRA - Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 675 orang yang dipindahkan ke sembilan pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 5 petang ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, kesemua mangsa terdiri daripada 159 keluarga dari empat daerah iaitu Kubang Pasu, Pendang, Kulim dan Pokok Sena.

Iklan
Iklan

"Daerah Pokok Sena paling terjejas dengan 255 mangsa daripada 63 keluarga dipindahkan ke dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau dan Maahad Tarbiyah Ismaliyah Derang.

"Pendang pula mencatatkan 187 mangsa daripada 20 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah,” katanya kepada pemberita ketika meninjau PPS SK Malau di sini hari ini.

Iklan

Di Kubang Pasu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 134 orang daripada 45 keluarga berbanding 53 mangsa daripada 15 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Malau pagi tadi.

Beliau berkata, dua lagi PPS dibuka iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun dan Dewan PPK Lubuk Batu.

Iklan

Zulkhairi berkata, di Kulim pula, sebanyak 99 mangsa daripada 31 keluarga dipindahkan di tiga PPS iaitu di Surau Taman Sang Kancil Lunas, Surau Kampung Paya Tok Betok dan SK Mahang.

"JKM Kedah sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan dengan bekalan bantuan makanan juga sentiasa dipastikan mencukupi.

"Bekalan makanan sedia ada mampu bertahan selama dua minggu untuk sekurang-kurangnya 10,000 mangsa. Setakat ini bekalan yang ada mencukupi untuk diagihkan kepada PPS," katanya yang turut menempatkan pegawai psikologi JKM di PPS bagi membantu mangsa.

Sementara itu, Zulkhairi berkata, JKM Kedah menggunakan sistem baharu menggunakan kod QR bagi pendaftaran masuk dan keluar mangsa banjir di PPS, sekali gus memastikan bantuan dapat diagihkan dengan berkesan.

"Apabila mangsa mengimbas QR dan memasukkan maklumat diperlukan, mereka akan terus didaftarkan ke dalam sistem info bencana JKM. Mangsa bersama keluarga akan ditempatkan di PPS dan bekalan makanan terus diagihkan,” katanya sambil menambah kaedah berkenaan telah diguna pakai di beberapa negeri sebelum ini. - Bernama