Warga emas maut dihempap pokok di tapak perkhemahan

Iklan
Keadaan di lokasi kejadian selepas kejadian itu. Foto APM Pahang.

KUANTAN - Seorang warga emas maut manakala dua lagi cedera akibat dihempap pokok tumbang ketika berkhemah dalam satu kejadian ribut dan angin kencang di Kem Nemo, Kampung Balok di sini pada Selasa.

Mangsa, Che Zakaria Che Ali, 68, yang beralamat di Kemaman, Terengganu dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Dua lagi mangsa iaitu seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak mengalami kecederaan, dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) oleh orang awam.

Pasukan APM mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia akibat dihempap pokok dalam kejadian ribut di tapak perkhemahan Kem Nemo di Kampung Balok pada Selasa. Foto APM Pahang.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuantan, Mejar Pertahanan Awam (PA) Zahidi Zainudin berkata, enam anggota APM dan seorang pegawai telah dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan sekitar jam 3.36 petang.

Iklan

"Kejadian ribut dan angin kencang itu mengakibatkan pokok tumbang dan menghempap tapak perkhemahan di situ. Terdapat kecederaan serta kemalangan jiwa dilaporkan.

"Tiga mangsa terlibat iaitu seorang warga emas meninggal dunia, manakala seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak telah dibawa oleh orang awam ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Tambahnya lagi, rawatan awal telah diberikan kepada mangsa yang terlibat dan pokok yang tumbang telah selesai dibersihkan.