Banjir: Cuti 800 pegawai, anggota bomba dibeku

Iklan
Awang Hidzel

JITRA - Hampir 800 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dibekukan cuti susulan banjir melanda Kedah.

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, cuti dibekukan selama tiga hari bermula Selasa hingga Khamis.

Iklan
Iklan

Beliau memaklumkan, pihaknya mengambil tindakan itu sebagai langkah berjaga-jaga bagi berdepan sebarang situasi melanda di Kedah.

"Persiapan kita terarah pada balai bomba yang berdekatan dengan sungai besar utama di Kedah iaitu Sungai Bata dan Kota Setar.

Iklan

"Kalau ada rumah yang berdekatan dengan sungai kita minta lakukan persiapan awal dan jika perlu berpindah, pindah lah sebelum berlaku perkara-perkara yang tidak diingini," katanya pada sidang media ketika melakukan tinjauan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Malau, di sini, pada Selasa.

Beliau menjelaskan, pihaknya akan sentiasa melakukan pemantauan terutama rumah terletak berhampiran sungai supaya mangsa yang terbabit dapat dipindahkan ke tempat selamat dengan segera.

Iklan

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) menjangkakan akan berlaku fenomena air pasang besar dalam tempoh sehari dua nanti.

"MetMalaysia juga mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang," katanya.

Awang Hidzel dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan sementara hasrat membawa keluarga bercuti atau berkelah di kawasan pantai mahu pun sungai buat masa ini.