Annuar tempelak kenyataan Saifuddin, ‘serang’ Abdul Hadi

Iklan
Annuar Musa

SHAH ALAM - Muafakat Nasional menempelak kenyataan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengulas mengenai Muktamar Pas baru-baru ini.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa mendakwa, Menteri Dalam Negeri itu ‘menyerang’ Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sekian lama berjuang sebagai pembangkang bersama beliau pada satu ketika dahulu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Abdul Hadi hanya membuat dua ucapan rasmi semasa Muktamar Pas dan kedua-duanya bercetak atau boleh ditatap oleh seluruh rakyat kandungannya.

"Bahagian manakah ucapan itu yang melayakkan Menteri KDN melabelkan Pas dengan politik membenci dan menyerupai khawarij?

Iklan

"Siapa membenci siapa sebenarnya? Atau ucapan menawarkan Islam satu penyelesaian itu telah menyebabkan keresahan yang amat sangat kepada pihak-pihak tertentu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, Saifuddin dalam satu kenyatan mendakwa Muktamar Tahunan ke-70 Pas yang berlangsung minggu lalu didakwa mencatat sejarah sebagai kemuncak politik kebencian yang membiakkan budaya fitnah, mencerca dan memaki hamun dalam parti itu di bawah kepimpinan Abdul Hadi.

Iklan

Menurutnya, cacian dan kebencian dihidangkan pemimpin-pemimpin Pas dalam ucapan dan resolusi mereka pada muktamar itu.

Katanya, antara ucapan dibangkitkan dalam perhimpunan parti tersebut adalah membandingkan kerajaan Perpaduan dengan golongan munafik di Madinah sekali gus ia tidak tepat dan mengelirukan.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, Muktamar Pas ke-70 pada 14 dan 15 September lalu diadakan di Kerdau, Pahang merupakan perjumpaan yang tertib, sopan, berilmu dan fokus kepada perjuangan yang berlandaskan Islam.

Tambahnya, parti itu juga berani meminda Perlembagaan demi membuka pintu keahliannya kepada pelbagai kaum dan agama.

"Tujuh usul yang diluluskan amat spesifik dan relevan. Sidang Muktamar turut disertai perwakilan berbagai kaum dan agama. Ada Melayu, Cina, India, Siam, Islam, Buddha, Hindu, Kristian dan wakil pelbagai etnik dari Sabah dan Sarawak.

"Parti mana yang sebegitu berkepelbagaian kaum dan agama dalam persidangannya?” soalnya.

Annuar turut menasihatkan pihak terbabit supaya lebih cermat dalam kenyataan media yang sesuai dengan kedudukan jawatan beliau.

"Banyak masalah keselamatan, kedaulatan negara serta keluhuran undang-undang yang perlu ditangani dengan penuh wibawa dan berkesan.

"Usah gementar dengan Pas dan Gerakan Islam. Setiap kebenaran akan tetap ditegakkan dan yang batil serta kufur pasti lenyap tiba masanya,” katanya.