Ombak kuat badai medan selera di Padang Kota, Pantai Bersih

Iklan
Air pasang luar biasa serta angin kencang menyebabkan ombak besar melanda Medan Renong di Padang Kota.

GEORGE TOWN - Angin kencang dan air pasang luar biasa pada tengah hari Selasa menyebabkan ombak kuat melanda di beberapa kawasan di negeri ini.

Antara kawasan tersebut ialah Medan Renong di Padang Kota, Bagan Ajam di Butterworth dan Pantai Teluk Bayu di Bayan Lepas.

Iklan
Iklan

Medan Renong antara kawasan yang terjejas teruk apabila air laut melimpah masuk ke medan selera tersebut.

Menerusi beberapa klip video yang tular di media sosial, kelihatan peniaga bertempiaran melarikan diri selepas air laut memasuki kawasan medan selera itu.

Iklan

Peniaga juga dilihat cuba menyelamatkan barangan mereka daripada dihanyutkan selain bergegas mengalihkan barang perniagaan mereka daripada terkena air laut.

Difahamkan, kejadian ombak besar itu berlaku kurang daripada satu jam, namun ia menyebabkan seluruh medan selera tersebut kotor.

Iklan

Bagaimanapun, kawasan Medan Renong kembali bersih seperti biasa selepas petugas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selesai membersihkan medan selera itu pada jam 3.45 petang.

Sementara itu, deretan restoran di Pantai Bersih, Bagan Ajam turut mengalami kejadian yang sama apabila ombak kuat menyebabkan air laut masuk ke premis di kawasan tersebut.

Salah sebuah restoran dilaporkan mengalami kerosakan pada lantai akibat dipukul ombak kuat.

Ombak kuat itu juga yang menyebabkan arus deras sehingga air laut memasuki kesemua deretan premis di situ.

Bagaimanapun, kedua-dua kejadian tersebut tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan.

Dalam pada itu, di Pantai Teluk Bayu, Bayan Lepas pula, berlaku air pasang besar menyebabkan air laut naik ke daratan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz, kejadian itu juga melibatkan penempatan nelayan di kawasan berkenaan.

"Sebarang aktiviti pantai amat berbahaya dan tidak dibenarkan.Penempatan aktiviti nelayan juga terlibat sehingga nelayan terpaksa mengalihkan peralatan menangkap ikan.

"Mohon kesabaran dan doa semua dalam masa kita diuji dengan ribut,hujan dan cuaca yang tidak menentu. Berdoa agar cuaca dan keadaan semuanya kembali normal," katanya melalui kenyataan di Facebooknya pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam sidang akhbarnya berkata, hampir 200 laporan pokok tumbang direkodkan di seluruh Pulau Pinang sejak Ahad lalu.

Menurutnya, ia susulan hujan lebat dan angin kencang yang turut menyebabkan beberapa rumah dan kenderaan rosak di sembilan lokasi di negeri ini.

Kata Kon Yeow lagi, Pulau Pinang turut mencatatkan taburan hujan sebanyak 110 milimeter (mm) hari ini hingga menyebabkan banjir kilat di 71 lokasi di tanah besar iaitu 43 kawasan di Seberang Perai Tengah (SPT) dan 28 tempat di Seberang Perai Selatan (SPS).