Kuskop sasar potensi pelaburan RM80 juta pada MIHAS 2024

Iklan
Ewon mengadakan sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo Pelancongan dan Makanan Halal yang diadakan di Menara Kembar Bank Rakyat.

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menyasarkan potensi pelaburan sebanyak RM80 juta melalui 26 penyertaan syarikat halal dan 14 syarikat francais jenama tempatan di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, pameran yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Kuskop itu dijangka dapat mencapai potensi pelaburan disasarkan melalui penyertaan syarikat berkenaan.

Iklan
Iklan

"Penyertaan Kuskop bersama usahawan-usahawan tempatan di MIHAS 2024 ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam mempromosikan usahawan tempatan ke peringkat global.

"Kami yakin bahawa peluang ini akan memberikan manfaat besar kepada usahawan Malaysia untuk memperluaskan jaringan perniagaan mereka, terutama melalui peningkatan kerjasama strategik dengan pelabur antarabangsa.

Iklan

"Saya berharap agar usahawan kita dapat mengambil peluang yang disediakan oleh platform ini untuk terus maju dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi yang semakin kompetitif,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ewon turut menyaksikan empat perjanjian persefahaman (MoU) yang membabitkan syarikat usahawan halal tempatan bersama rakan niaga dari dalam dan luar negara.

Iklan

Ia seperti syarikat R FEX Global Trade Sdn Bhd dengan rakan niaga dari Nigeria dan syarikat Hijrah Nature Herbs (M) Sdn Bhd bersama rakan niaga dari Singapura serta Hong Kong.

Selain itu, dua produk makanan baharu turut dilancarkan hasil syarikat usahawan halal iaitu Sumatraa Industries Sdn Bhd dan Kuhot Holdings (M) Sdn Bhd bagi pasaran domestik dan antarabangsa.

Tambah Ewon lagi, Pavilion Francais turut mempromosikan francais daripada pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, pendidikan dan perkhidmatan, antaranya CheeseU, Mokti's, Marrybrown, Sangkaya, US Pizza dan Vanilla Crepe.

Menurutnya, inisiatif program bersama pihak industri francais itu merupakan kolaborasi bersama pihak Persatuan Francais Malaysia (MFA).

"Usaha ini juga selaras dengan Perancangan Strategik Kuskop 2024 yang bertemakan Usahawan Madani, Memacu Ekonomi selaras dengan Kerangka Ekonomi Madani untuk menaikkan siling ekonomi dan meningkatkan lantai pendapatan rakyat," katanya.