SHAH ALAM - Halatuju di dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Persekutuan dan pembangkang harus lebih jelas objektifnya untuk memastikan agenda reformasi terlaksana sebagai hasil kesepakatan kedua-dua pihak agar negara dapat bergerak ke hadapan dan menjadi contoh di rantau ini.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dalam satu kenyataan berkata, draf yang didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof tidak mempunyai item pelaksanaan reformasi yang jelas sebagai parameter penting untuk agenda persefahaman antara kerajaan dan pembangkang, selain daripada pemberian peruntukan pembangunan kawasan (CDF) kepada ahli Parlimen pembangkang.
Menurutnya, pembangkang juga tidak menyatakan cadangan mereka yang lebih konkrit selain kekhuatiran mereka terhadap hak Melayu dan bumiputera.
Justeru, Bersih berpandangan bahawa MOU itu perlu ditambah baik dengan memasukkan pelaksanaan agenda reformasi untuk disepakati bersama di antara kerajaan Persekutuan dan pembangkang.
"Bersih mencadangkan supaya butiran di dalam MoU yang termeterai antara kerajaan Persekutuan ketika era pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) dijadikan titik mula untuk dilanjutkan pelaksanaannya.
"Ini kerana kebanyakan pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan PH berada di dalam perbincangan dan pemeteraian MoU Transformasi tersebut," katanya.
Bersih turut mencadangkan beberapa parameter untuk dijadikan kandungan MoU itu antaranya peruntukan pembangunan kawasan dikanunkan dalam undang-undang menerusi penggubalan Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan yang saksama kepada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bagi memastikan hak dan keadilan untuk semua ahli Parlimen dijamin oleh undang-undang.
"Selain itu reformasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan memastikan ahli SPR selepas ini dilantik melalui Jawatankuasa Tetap Parlimen sebelum nama-nama calon tersebut dibawa ke Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik.
"Hal ini supaya SPR menjadi bebas, adil, diperkasakan dan dipertanggungjawabkan ke Parlimen bagi memastikan pilihan raya bebas dan adil," katanya.
Bersih juga mencadangkan supaya Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat (PMDR) dipinda bagi memasukkan tatacara dan mekanisme undi tidak percaya atau undi percaya dengan lebih jelas.
Menurutnya, PMDR juga perlu direformasi untuk memperuntukkan Masa Urusan Bukan Kerajaan apabila Parlimen bersidang.
"Ini dapat memperkasakan peranan pembangkang di Parlimen dengan lebih bermakna.
"Pengiktirafan Kabinet bayangan pembangkang dengan peruntukan mencukupi juga antara cadangan Bersih untuk membayangi menteri dengan akses maklumat yang berpatutan,” jelasnya lagi.
Bersih dalam kenyataan sama berkata, reformasi Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menghapuskan kawalan politik oleh Perdana Menteri.
Ujarnya, kerajaan Persekutuan perlu menyegerakan pemisah peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya supaya tidak wujud lagi persepsi pendakwaan politik terpilih oleh kerajaan.
"SPRM perlu direformasi agar pelantikan Pesuruhjaya SPRM dapat dibuat dengan lebih telus dan melibatkan Parlimen,” tambahnya.
Bersih turut menggesa kerajaan Persekutuan dan pembangkang bersikap lebih profesional, telus dan jujur dalam perbincangan kandungan perjanjian persefahaman supaya manfaat daripada kesepakatan tersebut akan dapat dirasai oleh semua rakyat.
Pada masa sama, Bersih turut menegaskan kepentingan CSO untuk dilibatkan sama dalam rundingan ahli Parlimen khususnya melibatkan isu kestabilan politik sebagai mewakili suara rakyat.