KUALA PERLIS - Umpan umang-umang yang digunakan Rosilan Saad dari Simpang Empat, Perlis membawa tuah apabila berjaya menjinakkan ikan belukang seberat 0.595 kilogram, sekali gus ditabalkan juara Pertandingan Memancing Terbuka Perlis di Pantai Kuala Sanglang di sini pada Isnin.
Dengan kemenangan itu, Roslan menewaskan lebih 400 peserta lain dan membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000.
Tempat kedua disandang Zanizar Ismail dari Pendang, Kedah yang menjinakkan ikan belukang seberat 0.480 kilogram, manakala Zambri Ramli dari Shah Alam Selangor yang menaikkan belukang 0.450 kilogram di tempat ketiga.
Zanizar membawa pulang wang tunai RM2,000 manakala Zambri berpuas hati dengan RM1,000 dan hadiah kepada pemenang disampaikan Presiden Kelab Memancing Geng Pancing Unik (GPU), Wan Mohd Fitri Wan Shahidan.
Pertandingan memancing yang mendapat sokongan Tourism Malaysia bagi menggalakkan pelancongan domestik itu berlangsung dalam cuaca mendung dan hujan gerimis.
Di akhir pertandingan, angin kencang dan hujan lebat menyebabkan majlis penyampaian hadiah terpaksa dilakukan dalam tempoh singkat bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Wan Mohd Fitri berkata, cuaca di Perlis sejak seminggu lalu sentiasa hujan dengan angin kencang.
"Sejak seminggu lepas, hujan lebat sentiasa turun di Perlis, terutamanya pada waktu petang. Ini juga antara faktor utama hasil tangkapan peserta kurang menggalakkan.
"Apabila hujan lebat berserta angin kencang, laut jadi bergelora dan keadaan air di pantai terlalu keruh. Ini menyebabkan ikan sukar menjumpai umpan yang digunakan peserta.
"Justeru hasil tangkapan sangat kurang berbanding tahun lalu,’’ katanya.
Beliau berkata, hanya 52 ekor ikan berjaya dinaikkan peserta, justeru hadiah wang tunai yang disediakan untuk pemenang pertandingan telah digunakan sebagai hadiah cabutan bertuah.