SHAH ALAM - Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) yang kini dalam pembinaan dijangka siap pada Disember 2025 dan bakal beroperasi pada Januari 2026.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, HUSM memiliki kapasiti 400 katil, 25 bilik pembedahan, 40 katil rawatan intensif dan 145 buah klinik pakar.
"Dengan beroperasinya HUMS ini, ia bakal mempertingkatkan mutu pendidikan dan latihan perubatan, meningkatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi untuk masyarakat setempat.
"Bukan itu sahaja, ia juga dapat meningkatkan fiskal pendapatan serta ekonomi rakyat khususnya dalam sektor pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sewaktu lawatan kerja melihat projek pembangunan HUMS itu, Zambry memaklumkan bahawa beliau turut diberi taklimat terkini berhubung kemajuan projek oleh Pengarah HUMS, Professor Madya Dr Malehah Datuk Mohd Noh bersama wakil syarikat konsesi yang dilantik.
Menurutnya, HUMS berkonsepkan hospital pintar kerana keseluruhan operasi menggunakan sistem digital maklumat lengkap.
"Antara perkhidmatan yang ditawarkan HUMS termasuklah khidmat rundingan dan rawatan doktor pakar, kecemasan dan trauma selama 24 jam, dua Angiogram Suite dan pengimejan resonans magnetik (MRI).
"Seterusnya, Mesin Pengimbas Tomografi Berkomputer (CT Scan), wad isolasi komprehensif sebanyak 10 katil, rawatan pesakit harian (58 katil) dan hemodialisis (40 kerusi rawatan),” ujarnya.