Belanjawan 2025: Kerajaan fokus strategi stabilkan inflasi

Iklan
Datuk Seri Fadillah Yusof. Foto Bernama

KOTA KINABALU - Kerajaan Persekutuan akan memfokus kepada beberapa strategi dalam menstabilkan inflasi sekali gus menangani cabaran kenaikan kos sara hidup rakyat dalam Belanjawan 2025, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu, menerusi hantaran di laman Facebook berkata, beliau memaklumkan perkara tersebut pada Mesyuarat Jawatankuasa Penstabilan Harga Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang dipengerusikannya di sini pada Selasa.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, usaha menstabilkan harga barang dan perkhidmatan akan terus dilakukan oleh kerajaan selaras dengan tonggak utama Kerajaan MADANI dalam memelihara kesejahteraan rakyat.

"Saya juga sangat mengalu-alukan inisiatif baharu sama ada ia bersifat jangka pendek, sederhana atau panjang terutama jika ia mampu memberi kesan langsung dalam tujuan menstabilkan harga barangan.

Iklan

"Ini sekali gus memberi manfaat kepada rakyat dalam membantu mereka mendepani cabaran kos sara hidup sama ada pada masa sekarang atau pada masa akan datang," katanya.

Fadilah juga meminta beberapa agensi yang berkaitan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dimasukkan sebagai ahli jawatankuasa itu.

Beliau berkata, selaras dengan agenda pendekatan keseluruhan negara, terdapat keperluan bagi banyak pihak berkepentingan untuk berganding bahu dalam memberi sumbangan agar matlamat penubuhan jawatankuasa itu tercapai.

Iklan

Mesyuarat hari ini turut disertai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib.

Ini adalah mesyuarat kedua selepas yang pertama diadakan pada 7 Mac lepas di Kuala Lumpur. - Bernama