SDG30: Pencapaian Malaysia menggalakkan, tak bermaksud boleh berpuas hati - PM

Iklan
Anwar berucap ketika hadir bagi merasmikan Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (SDG) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Biarpun kedudukan Malaysia dalam pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) agak baik berdasarkan 248 indikator yang digariskan, itu tidak bermaksud kerajaan boleh berpuas hati, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sewaktu berucap merasmikan Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia 2024 di ibu negara pada Selasa, beliau berkata, laporan menunjukkan Malaysia berjaya mencapai 43 peratus pelaksanaan, berbanding pencapaian purata negara lain iaitu pada tahap 17 peratus.

Iklan
Iklan

Namun, jelasnya lagi, itu bukan satu petunjuk yang adil, kerana SDG bukan sekadar agenda untuk memenuhi kepentingan ekonomi, tetapi ia adalah sesuatu yang kritikal untuk kelangsungan manusia.

"Kriteria yang digariskan hanya sekadar panduan, dan kejayaan Malaysia adalah relative.

Iklan

"Saya percaya ia adalah perkara yang perlu diyakini, lakukan sebaik mungkin untuk kita capai sasaran ini, dengan kaedah yang paling menakjubkan.

"Itulah maksud sebenar Madani, iaitu kemampanan dan belas ihsan, serta menghargai kepentingan untuk terus bertahan sebagai negara dan sebagai insan.

Iklan

"Sebab itu era pasca normal ini memerlukan kita tangani isu ini dengan kepantasan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dan ditentukan berdasarkan kepentingan kelangsungan negara dan masyarakat,” katanya lagi.

Perdana Menteri selanjutnya berkata, jika sesuatu langkah dilakukan berdasarkan persaingan, atau semata-mata keuntungan ekonomi, sudah tentu matlamat asal mustahil untuk dicapai.

Tambahnya lagi, semua pihak perlu memahami isu-isu global yang sedang berlaku sekarang seperti migrasi yang tidak terkawal, atau bencana dan malapetaka di seluruh dunia, adalah disebabkan tindakan pemimpin yang berlandaskan politik atau kepentingan sendiri, sehingga akhirnya mengabaikan kepentingan belas ihsan dan keadilan sejagat.

"Kita perlu mengingatkan diri kita, ada bidang atau ruang untuk kita menambah baik, dan ini menjadi fokus kepada Kementerian Ekonomi. Tetapi untuk Ketua Audit Negara juga perlu mengambil kira isu ini, yang kita tahu tugasnya secara tradisional adalah mengaudit.

"Jadi kita bicara tentang seperti mana kita cuba sampaikan hujah tentang isu kemampanan dan kemampanan itu mesti mencakup satu bidang atau merangkum satu bidang yang sangat luas, yang berbeda dengan pengertian kita tentang apa maksud pembangunan ekonmomi yang biasa kita pelajari.

"Sekarang ekonomi dan pembangunan dan kemampanan tidak bermakna kalau tidak ada kefahaman selari dengan apa itu ehsan, apa itu kemanusiaan, apa itu keadilan dan keselamatan termasuk persekitaran dan iklim yang sebahagiannya boleh kita tentukan, sebahagian memang kita terima sebagai kenyataan undang undang dan hukum alam,” katanya lagi. - Awani