Taasub melampau buka ruang kesesatan

Iklan

PENYELEWENGAN akidah dalam kalangan umat Islam hingga tercetusnya pelbagai kumpulan ajaran sesat di negara ini bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya menjadi ancaman sejak sekian lama.

Namun, usaha berterusan yang dilakukan pihak berkuasa agama di negeri-negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berjaya mengekang agenda perosak agama Islam itu.

Iklan
Iklan

Di sebalik pemantauan berterusan dilakukan pihak berkuasa, kumpulan yang tidak serik-serik menyebarkan kepercayaan karut dan sesat mereka itu turut tampil mencipta pelbagai tipu daya untuk mengelirukan umat Islam.

Taasub dan fanatik melampau kepada guru atau ketua ajaran dikenal pasti antara kriteria utama yang menjadi pencetus ajaran sesat.

Iklan

Buktinya, meskipun pengasas atau ketua kumpulan itu telah meninggal dunia sekali pun, fahaman songsang yang dipegang oleh pengikut kumpulan tetap wujud kerana pengaruh dan taasub.

Contoh kumpulan ajaran sesat yang pernah menggemparkan Malaysia sebelum ini ialah Al-Arqam, Ajaran Ayah Pin, Ajaran Harun Mat Saat, Ajaran Milah Ibrahim, dan Ajaran SiHulk.

Iklan

Isu ajaran sesat kembali hangat diperkatakan ketika ini susulan operasi besar-besaran polis ke atas 20 rumah amal dipercayai milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Menerusi Ops Global itu, seramai 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan, manakala seramai 171 individu terdiri daripada tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian ditahan.

GISBH sebelum ini didakwa mempunyai kaitan dengan ajaran sesat Al-Arqam dan Rufaqa, namun dinafikan pihak pengurusan syarikat.

Isu mengenai ajaran sesat yang hangat diperkatakan ketika ini juga turut menarik pelbagai pihak untuk memberi pandangan mereka termasuklah Pensyarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Khalif Muammar A Harris.

Khalif Muammar berpandangan, budaya mudah mengangkat seseorang individu sebagai ustaz atau dijadikan rujukan dalam hal agama Islam hanya bersandarkan pakaian, pandai mengutip hadis dan mempunyai pengikut perlu dihentikan bagi mengekang ajaran sesat di negara ini.

Menurutnya, fenomena itu harus ditentang kerana Islam bukan agama ciptaan manusia, agama budaya atau agama nenek moyang.

Ujarnya lagi, ajaran sesat berpunca daripada kejahilan dan kekeliruan disebabkan ramai yang memandang remeh dalam hal agama, selain menganggap ilmu tersebut boleh dipelajari sendiri melalui bacaan buku atau mendengar daripada sesiapa sahaja.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar berhati-hati dalam mempelajari ilmu agama kerana untuk mendapatkan guru dan ulama yang sebenar-benarnya tidak mudah seperti dibayangkan khususnya pada akhir zaman yang banyak fitnah ini.

Berdasarkan penjelasan yang dibuat Khalif Muammar itu, taasub atau fanatik hanya dengan melihat kepada luaran yang bijak berkata-kata mengenai hal agama yang belum tentu sahih itu boleh memakan diri.

Usaha pihak tertentu untuk menyebarkan fahaman sesat itu menjadi lebih mudah ketika ini dengan penggunaan media sosial yang cukup meluas dalam kalangan masyarakat terutamanya jika tidak mempunyai pegangan agama yang kuat.

Seiring dengan kepesatan teknologi masa kini juga, seseorang individu juga dilihat mudah dipanggil ustaz hanya kerana dilihat pandai melontarkan atau berbicara mengenai hal agama, walaupun tidak diketahui kebenarannya.

Kumpulan yang paling mudah untuk dipengaruhi gerakan songsang itu pastinya melibatkan mereka yang cetek ilmu agama, namun tidak terkecuali juga yang berilmu tinggi kerana kumpulan ini juga senang dipengaruhi jika punyai sikap taasub terhadap individu tertentu.

Justeru, buanglah jauh-jauh sikap taasub melampau tidak kiralah terhadap individu atau kumpulan tertentu kerana kesannya amat buruk bukan sahaja diri sendiri tapi mungkin kepada masyarakat dan agama.

Diharapkan juga usaha pihak berkuasa khususnya agensi agama untuk membanteras ajaran sesat di negara ini berupaya mengekang atau lebih tepat lagi menghapuskan sebarang saki-baki atau kumpulan ajaran sesat atau yang baharu ingin mencuba nasib.

Kunci utama terselamat daripada kesesatan adalah dengan mendalami secara berterusan ilmu dan pengetahuan agama serta berhati-hati dengan sebarang bentuk penyebaran ajaran sesat yang boleh memesongkan akidah.

* Nurul Huda Husain ialah wartawan Sinar Harian