Warga emas setia jaga suami terlantar

Iklan
Siti Sharipah Alauyah menjaga Razali yang kini terlantar di rumah.

NILAI - Seorang isteri terpaksa mengubah rutin harian apabila suaminya sukar menguruskan diri selepas didapati mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

Siti Sharipah Alauyah Syed Sayuthi, 63, berkata suaminya, Razali Idrus, yang berusia 79 tahun juga disahkan mengalami jangkitan pada kelenjar prostat.

Iklan
Iklan

Katanya, dia reda dengan ujian menimpa mereka sekeluarga pada usia emas dan cuba melakukan yang terbaik.

Siti Sharipah Alauyah

"Memang kadang-kadang ada rasa penat tapi selagi ada kudrat, saya akan terus menjaga suami supaya dia pulih semula.

Iklan

"Sejujurnya setiap kali menatap wajahnya, air mata gagal disekat dan saya sentiasa berdoa diberi kemudahan serta kekuatan terus cekal dalam menempuhi hari mendatang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengah, Lenggeng, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Siti Sharipah berkata, kesihatan suaminya mula merosot selepas mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

Iklan
Siti Sharipah Alauyah setia di sisi suaminya yang terlantar akibat jangkitan kuman.

"Suami turut mengalami demam panas dan menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) sebelum doktor mengesahkan ada jangkitan pada kelenjar prostat pada Mei lalu.

"Saya perlu membelanjakan RM500 sebulan membeli keperluan suami termasuk lampin pakai buang menggunakan wang pencen.

"Bagaimanapun, saya sedikit lega apabila suami mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan, sekali gus meringankan beban ditanggung," katanya yang turut mendapat perhatian penduduk setempat.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Siti Sharipah Alauyah di talian 019-318 0834.