MERAK JALANAN tertarik dengan perkongsian pakar motivasi mengenai luahan seorang ibu yang buntu memikirkan anaknya yang terjebak seks sejenis akibat terdedah pornografi dan homoseksual seawal usia 13 tahun di sekolah asrama.
Menurut kisah yang dikongsi, ketagihan pornografi menyebabkan remaja tersebut terlibat dalam perlakuan tidak senonoh.
Pihak sekolah yang mengetahui hal ini memberikan dua pilihan kepada keluarga – sama ada anak tersebut digantung asrama atau dipindahkan ke sekolah harian.
Walaupun sudah berpindah, masalah ketagihan seksual itu masih berterusan dan si ibu terjumpa perbualan lucah antara anaknya dengan lelaki dewasa melalui aplikasi gay.
Dalam situasi penuh tekanan itu, bapa si anak mencadangkan remaja tersebut dimasukkan ke pusat tahfiz sebagai jalan penyelesaian.
Sebelum ini, beberapa pihak pernah menegur dan kesal dengan tindakan segelintir ibu bapa yang menghantar anak nakal dan mempunyai masalah sosial ke pusat tahfiz.
Ia mungkin dianggap sebagai langkah penyelesaian tetapi tindakan ini bukanlah langkah yang tepat atau mencukupi dalam kebanyakan kes.
Sekolah tahfiz berfungsi untuk mendidik anak-anak terutama menghafal al-Quran dan mendalami ajaran Islam.
Walaupun pendidikan agama penting untuk pembentukan akhlak, institusi tahfiz tidak mempunyai kapasiti memulihkan remaja keruntuhan akhlak mahupun kepakaran untuk ketagihan pornografi termasuk seksual songsang.
Menghantar anak yang bergelumang dengan masalah tersebut ke tahfiz, hanya akan memburukkan lagi keadaan.
Lebih teruk, ia berpotensi mempengaruhi pelajar lain.
Remaja yang menghadapi masalah sedemikian perlu dirujuk kepada pakar kaunseling, terapi psikologi atau psikiatri untuk rawatan yang tepat.
Maka Merak Jalanan nasihatkan kepada ibu bapa supaya tidak ‘membawa’ risiko besar itu ke tahfiz kerana hanya akan menambah beban dan menjejaskan imej pusat pengajian al-Quran.