KOTA BHARU - Seramai 800,000 pelancong memasuki Malaysia dari Thailand melalui tiga pintu masuk di negeri ini sejak Januari hingga 30 Jun lalu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Noor berkata, maklumat itu hasil laporan yang diperoleh pihaknya dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
"Ramai yang hanya melaporkan orang kita ke sana (Thailand) tetapi dari Thailand masuk ke sini tiada yang hebohkan.
"Kebanyakan mereka (pelancong) ini datang dari Thailand, Eropah dan sebagainya," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa malam.
Sebelum itu beliau merasmikan Sambutan Pesta Tanglung Kelantan 2024 di Dewan Perniagaan Cina Kelantan di sini.
Menurut beliau, kemasukan pelancongan tersebut adalah melalui tiga pintu masuk utama Malaysia-Thailand iaitu di Rantau Panjang (Pasir Mas), Pengkalan Kubor (Tumpat), dan Bukit Bunga (Tanah Merah).
Ujarnya, kebanyakan rakyat dari negara jiran terutama selatan Thailand ke Kelantan kerana di sini terdapat pasar raya yang menjual barangan berjenama.
Kamarudin memberitahu, di selatan Thailand kawasan itu mempunyai pasar raya namun tidak menjual barangan berjenama disebabkan itu mereka memilih datang ke Kelantan.
"Mereka ke sini bukan hendak makan tetapi memilih berkunjung ke pasar raya," katanya.
Dalam perkembangan sama, menurut Kamarudin, seramai 1.5 juta pelancong telah direkodkan memasuki negeri ini sehingga 30 Jun lalu sepanjang Tahun Melawat Kelantan (TMK).
"Jumlah tersebut melibatkan 800,000 pelancong dari tiga pintu masuk utama Malaysia-Thailand manakala 700,000 lagi adalah melalui udara di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
"Ini baharu setengah tahun, saya yakin akhir tahun kita (Kelantan) akan mendapat kunjungan 3 juta pelancong. Alhamdulillah Tahun Melawat Kelantan berhasil," katanya.