Bicara kes Zayn Rayyan: Mahkamah PJ kembali jadi tumpuan

Iklan
Suasana sekitar pintu masuk hadapan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pada Rabu.

PETALING JAYA - Mahkamah Majistret Petaling Jaya kembali menjadi tumpuan petugas media bagi liputan perbicaraan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin, pada Rabu.

Suasana di pekarangan kompleks mahkamah ini mula dipenuhi pengamal media yang hadir sejak jam 8.30 pagi bagi mengikuti perkembangan kes berkenaan.

Iklan
Iklan

Selain itu turut dilihat petugas keselamatan mahkamah melakukan kawalan di sekitar pintu masuk hadapan kompleks ini.

13 Jun lalu, ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan.

Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, pada pukul 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada pukul 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Susulan itu, ibu bapa kanak-kanak malang tersebut ditahan polis pada 31 Mei sebelum direman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan.