Cacar monyet: Thailand bukan negara berisiko - JKNK

Iklan
Rakyat Malaysia yang berkunjung ke Thailand tidak perlu bimbang tentang cacar monyet atau mpox kerana negara tersebut tidak berisiko dengan virus tersebut.

KOTA BHARU - Rakyat Malaysia yang berkunjung ke Thailand tidak perlu bimbang tentang cacar monyet atau mpox kerana negara tersebut tidak berisiko dengan virus tersebut.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, negara yang berisiko ialah Congo, Benua Afrika dan beberapa negara lain.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun kita (JKNK) menjalinkan kerjasama dengan imigresen (Jabatan Imigresen Malaysia) untuk mengetatkan pengawalan di tiga pintu masuk utama Malaysia-Thailand yang ada di negeri ini.

"Kita pantau mereka yang berkemungkinan datang dari negara berisiko tersebut. Namun setakat ini di Kelantan belum menerima sebarang laporan berhubung cacar monyet," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Rabu.

Iklan

Menurut beliau, orang ramai khususnya yang pulang dari negara berisiko atau terdedah dengan penyakit tersebut diminta tampil memaklumkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ujarnya, jika ada dalam kalangan mereka yang mempunyai simptom perlu maklum segera untuk memudahkan pihak KKM membuat pemantauan.

Iklan

Sinar Harian melaporkan KKM mengesan satu kes positif cacar monyet atau mpox varian clade II di negara ini pada Selasa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kes berkenaan dikesan daripada 58 kes disyaki mpox yang telah dirujuk kepada KKM sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, pesakit berkenaan merupakan seorang lelaki warga tempatan yang mula menunjukkan gejala demam, sakit tekak dan batuk pada 11 September lepas manakala ruam mula muncul pada 12 September.

Dr Muhammad Radzi berkata, individu yang sedang dalam isolasi itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul dan kini berada dalam keadaan stabil.