Premis biak aedes, JKNK keluarkan kompaun hampir RM1 juta

Iklan
KNK mengeluarkan 1,732 kompaun dengan nilaian RM866,000 kepada pemilik premis yang menjadi tempat pembiakan aedes sehingga 7 September lalu.

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan 1,732 kompaun dengan nilaian RM866,000 kepada pemilik premis yang menjadi tempat pembiakan aedes sehingga 7 September lalu.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pengkompaunan itu dibuat di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 [Akta 154].

Iklan
Iklan

"Tindakan itu bertujuan membendung penularan penyakit demam denggi daripada terus merebak dan mengancam kesihatan penduduk di negeri ini.

"Ini kerana pada tahun ini sehingga 7 September bilangan kes demam denggi yang dilaporkan di Kelantan adalah sebanyak 2,051 kes. Dua kes kematian dilaporkan," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Iklan

Menurut beliau, jumlah kes pada tahun ini meningkat sebanyak 8.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2023 (1,892 kes).

Ujarnya, sementara itu, kejadian wabak denggi yang dilaporkan sehingga tarikh tersebut adalah sebanyak 129 wabak, berbanding 150 wabak pada tempoh yang sama tahun 2023.

Iklan

Dr Zaini memberitahu, daripada 129 wabak denggi yang dilaporkan, 96 wabak telah tamat manakala 33 wabak masih aktif.

"Pada tahun ini, tujuh lokaliti wabak hotspot berlaku di Kelantan. Dua wabak hotspot masih aktif (tempoh wabak yg melebihi 30 hari).

"Kami (JKNK) sentiasa menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan untuk semua kes dan wabak denggi yang dilaporkan bagi memutuskan rantaian jangkitan, antara aktiviti kawalan vektor yang dijalankan ialah pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan," katanya.

Menurut beliau, pihaknya menyeru orang ramai untuk bersama-sama mengambil tanggungjawab bagi membendung penyakit denggi.