Wanita cemas berdepan provokasi pemandu Toyota

Iklan
Tangkap layar video perkongsian Ummi Ayuni menunjukkan pemandu Toyota melakukan provokasi ketika memandu bersebelahan dengan kenderaannya.

SHAH ALAM - Seorang wanita berdepan detik cemas apabila kenderaan dipandunya itu diekori rapat sebuah kereta jenis Toyota Camry baru-baru ini.

Menerusi video dikongsikan oleh pengguna TikTok, @dead.zo atau nama sebenar, Ummi Ayuni Azahar, pemandu kereta itu kelihatan menurunkan tingkap dan melakukan provokasi ketika memandu bersebelahan dengan kenderaannya.

Iklan
Iklan

Ujar Ummi Ayuni, dia ketika itu cuba merekod aksi pemandu berkenaan sebelum kereta tersebut dilihat memecut ke hadapan dan bertindak memotong di laluan sebelah kiri.

Menceritakan bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku, Ummi Ayuni berkata, ia berpunca apabila pemandu tersebut gagal memotong kenderaannya ketika keluar simpang di sebuah jalan di Little India, Ipoh, Perak.

Iklan

Menurutnya, keadaan ketika itu agak sesak kerana hari bekerja dan hanya dua barisan sahaja untuk keluar ke jalan utama.

"Bila lampu hijau, dia terus hendak terjah masuk sedangkan memang tidak muat. Saya fikir lebih baik kereta saya jalan dulu supaya tidak berlanggar dengan dia, tetapi dia macam mahu berebut jalan juga.

Iklan

"Oleh kerana saya sudah mendahului jadi kereta saya ada depan dia. Lebih kurang 30 meter, saya yang berada di laluan kanan itu terkejut sebab pemandu tersebut tiba-tiba muncul di sebelah kiri saya dan cuba buat provokasi terhadap saya,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ulas Ummi Ayuni, cubaan kali pertama itu tidak berjaya kerana keadaan jalan masih lagi sesak.

"Saya sudah sedia buka kamera telefon saya kerana menjangkakan pemandu berkenaan akan datang semula untuk cetus provokasi.

"Dugaan saya betul, kali kedua dia melambai tangan suruh saya berhenti, saya terus rakam perbuatan dia.

"Bila nampak saya angkat telefon, dia terus tutup muka dan bawa kereta macam orang gila,” ujarnya.

Ditanyakan sama ada telah membuat laporan polis atau tidak berhubung insiden tersebut, Ummi Ayuni berkata, dia hanya membuat laporan menerusi aplikasi MyJPJ.

"Saya tidak buat aduan di balai sebab selepas saya siarkan video berkenaan, ada orang beritahu supaya buat aduan di apikasi berkenaan sahaja,” menurutnya.

Video tersebut sehingga kini mendapat tontonan seramai 643,000 orang dan 22,000 tanda suka di platform TikTok.