Korobori himpun 2,000 pengakap kanak-kanak seluruh negara

Iklan
Sebahagian pemimpin pengakap bergambar bersama helikopter sempena Korobori Selangor Peringkat Kebangsaan di Kem Bina Negara, Kuala Kubu Bharu.

HULU SELANGOR - Kira-kira 2,000 pengakap kanak-kanak seluruh negara berhimpun menyertai Korobori Selangor Peringkat Kebangsaan di Kem Bina Negara, Kuala Kubu Bharu.

Program selama empat hari bermula pada Sabtu itu disertai pengakap dari Selangor, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Pengelolanya, Noor Hashim Ismail berkata, korobori kali ini menekankan beberapa aspek penting dari segi fizikal, mental, intelektual dan sosial dalam kalangan peserta terlibat.

"Kita menekankan elemen-elemen positif dalam diri pengakap kanak-kanak ini supaya mereka dapat berdikari dan membentuk keperibadian baik semasa berada dalam khemah bersama rakan-rakan serta mengikuti setiap aktiviti dijalankan," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Sebahagian pengakap kanak-kanak mengikuti aktiviti air.

Iklan

Noor Hashim berkata, peserta juga diberi pendedahan dan meneroka cabaran alam melalui empat stesen iaitu air, alam, sukan lasak dan inisiatif global.

Beliau memberitahu, menerusi empat stesen itu, peserta dapat mengikuti pelbagai aktiviti menarik yang diadakan

Iklan

"Antara aktiviti dijalankan di empat stesen itu antaranya berakit, berkayak, merentas air, kraf seni solar, pembelajaran komuniti, radio amatur, permainan kim, flying fox, halangan komando dan memanah," ujar beliau.

Beliau memberitahu, uniknya korobori kali ini turut meraikan sambutan Maulidur Rasul dan Hari Malaysia.

"Bagi yang beragama Islam, mereka dapat bersama-sama berhimpun untuk mengikuti program kerohanian pada sambutan Maulidur Rasul, manakala bukan Islam berada dalam satu lagi slot iaitu kewarganegaraan dengan menyemarakkan sambutan Hari Malaysia.

Pengakap kanak-kanak mengikuti aktiviti memanah semasa korobori berkenaan.

"Perhimpunan ini bukan semata-mata menjalankan aktiviti pengakap, sebaliknya menekankan tentang soal semangat cintakan negara dan jiwa patriotik dalam kalangan generasi muda," ujar beliau.

Beliau memberitahu, pendedahan awal kepada latihan pengakap kanak-kanak akan memperkasakan mereka untuk meraih anugerah tertinggi pengakap raja sebelum mereka berusia 18 tahun.

"Rata-rata peserta terdiri dalam kalangan mereka yang lulus dalam ujian lencana keris gangsa, perak, emas, manakala pengiktirafan tertinggi pula ialah rambu pengakap kanak-kanak bawah usia 12 tahun.

Beliau memberitahu, bagi perakuan Pengakap Raja pula sijil yang diterima oleh mereka sangat unik kerana ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

"Pengakap Remaja yang menerima sijil dan lencana Pengakap Raja adalah mereka yang lulus pelbagai tahap ujian yang bermula sejak Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Lima kerana setiap peringkat ada skim latihan berbeza," ujar beliau.