KLUANG - UMNO tidak pernah mengeluarkan arahan melarang Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menyertai kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota ekoran isu pensijilan halal.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pergeseran yang berlaku antara Dr Muhamad Akmal dengan pemimpin DAP, Teresa Kok adalah isu peribadi antara kedua-duanya dan tidak melibatkan parti.
Sehubungan itu, beliau yakin isu berkenaan tidak akan mempengaruhi pengundi untuk menolak calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah.
"Ini adalah isu peribadi dan tiada kaitan antara UMNO dan DAP.
"Ia ‘clash’ antara dua peribadi,” katanya kepada pemberita ketika Pesta Tanglung di Tokong Che Luan Khor di sini, pada Selasa.
Sebelum ini pemimpin Pakatan Harapan (PH) Johor menyuarakan kebimbangan mengenai kelantangan Dr Muhamad Akmal berhubung isu pensijilan halal kerana berisiko menjejaskan undi daripada penyokong PH khususnya kaum Cina.
Untuk rekod, pengundi Cina PRK DUN Mahkota pada 28 September ini meliputi 35 peratus daripada 66,318.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.
Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon PH, PN dan Warisan