Orang Asli bakal jadi penentu di Cameron Highlands?

Iklan

KUALA LUMPUR - Walaupun tinggal jauh di pedalaman, undi masyarakat Orang Asli tetap dianggap penting meskipun selama ini mereka tidak memainkan peranan besar dalam landskap politik negara.

Namun, situasinya mungkin bertukar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands 26 Jan nanti apabila perpecahan dalaman parti-parti politik yang bertanding dilihat sebagai membuka ruang kepada masyarakat Orang Asli untuk muncul sebagai penentu atau 'king maker' dalam PRK itu nanti.

Iklan
Iklan

Justeru kerana itu, BN sendiri dilihat mengambil peluang dengan mempertaruhkan seorang bekas pegawai kanan polis daripada kalangan Orang Asli untuk mempertahankan kerusi itu.

Kaum Orang Asli, yang mewakili 22 peratus daripada sejumlah 32,009 pengundi kebanyakannya dari suku Temiar, adalah satu jumlah yang tidak boleh dipandang remeh sekurang-kurang di Cameron Highlands.

Iklan

Baki pemilih terdiri daripada kaum Melayu (34 peratus), Cina (30 peratus) dan India (15 peratus).

Masyarakat Orang Asli di situ selama ini cenderung menyokong BN yang masih menjadi kerajaan negeri di Pahang.

Iklan

Pemilih lain pula terbahagi kepada kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH), Pas dan parti-parti kecil lain seperti PSM dan Berjasa yang turut mempunyai sebilangan penyokong masing-masing di Cameron Highlands.

DAP yang diihat sebagai ketua untuk menggempur' BN di Cameron Highlands amat menyedari bahawa PRK kali ini bukan satu perlawanan mudah memandangkan dua calon BN dari MIC telah memenangi kerusi itu dalam dua pilihan raya terdahulu, dengan majoriti mudah termasuk majoriti 597 undi dalam pertandingan lima penjuru pada PRU14 lepas.

Justeru, tidak menghairankan jika jauh sebelum tarikh penamaan calon dan hari pengundian diumumkan, pihak-pihak yang bakal bertanding telah mula berkempen untuk memenangi hati masyarakat Orang Asli.

Malah pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang telah bermalam pada malam tahun baharu di kampung Orang Asli Semoi Lama akibat kenderaan pacuan empat rodanya terperangkap dalam laluan berlumpur.

"Selamat Tahun Baharu, sudah tentu ada sebab kenapa kami perlu meraikan malam tahun baharu di sini. Di sini tiada jalan yang elok, beginilah nasib yang menimpa masyarakat Orang Asli selepas lebih 60 tahun negara mencapai kemerdekaan," kata Kit Siang mengenai nasib masyarakat Orang Asli di perkampungan yang dilawatinya.

Masyarakt Orang Asli di situ sedar bahawa ada pihak-pihak yang sedang cuba untuk memancing mereka tetapi tidak mudah untuk memenangi hati masyarakat itu.

BN mengambil masa bertahun-tahun untuk mendapatkan keyakinan dan kepercayaan mereka dan justeru itu, tidak mudah bagi seorang pendatang baharu dari PH hendak menembusi kubu masyarakat Orang Asli itu.

Ketiadaan amalan rasuah membeli undi mungkin menjadi satu kejutan buat masyarakat Orang Asli di situ yang sudah terbiasa menerima ganjaran untuk undi yang dianggap sesetengah pihak sebagai satu budaya sebelum ini.

Para calon perlu berfikir banyak kali sekiranya cuba hendak menyuap pengundi kerana pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menempatkan pegawainya di situ untuk membanteras rasuah beli undi.

Selain itu, calon yang menyangka masyarakat Orang Asli mudah diyakinkan perlu berfikir semula kerana sejak PRU ke-14 dilihat berlaku kebangkitan dalam kalangan sebahagian masyakat itu yang mulai sedar akan hak-hak mereka.

Pilihan raya kecil kali ini dijangka akan menyaksikan pertandingan beberapa penjuru dengan DAP mencalonkan M.Manogran, yang telah bertanding kerusi yang sama dalam PRU14 lepas.

PRK ini diadakan berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kekosongan kerusi itu kerana berlaku pembelian undi oleh calon penyandang dari BN C. Sivarraajh yang memberi kemenangan kepadanya dalam PRU14.

Buat kali pertama, selepas empat kali Pilihan Raya Umum, BN tidak lagi diwakili MIC di Cameron Highlands selepas presiden parti S.Vigneswaran mengakui peluang bagi partinya memenangi kerusi itu adalah tipis, terutama ekoran sentimen masyarakat berikutan kesan peristiwa rusuhan di kuil Seafield baru-baru ini.

Umno akan membawa cabaran BN dengan meletakkan calonnya Ramli Mohd Noor, yang berketurunan Orang Asli.

Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berpendapat, keputusan pilihan raya kecil itu nanti akan menjadi kayu pengukur terhadap tahap penerimaan rakyat kepada BN dan sebagai satu permulaan baharu untuk peremajaan Umno.

Gabungan itu telah memerintah selama lebih enam dekad.

M.Kayeas juga telah menyatakan hasrat untuk turut bertanding, dengan membawa bersama kemelut kepimpinan MyPPP ke Cameron Highlands.

Bagi DAP, walaupun ia kini mejadi sebahagian daripada kerajaan baharu, ia mengambil sikap berhati-hati seperti kenyataan setiausaha agung parti Lim Guan Eng bahawa pilihan raya kecil itu akan menyaksikan persaingan sengit kerana PH belum pernah memenangi kerusi berkenaan. Apatah lagi Pahang masih kubu kuat BN.

Bagaimanapun, hanya keputusan pada 26 Januari nanti yang boleh mengesahkan sama ada masyarakat Orang Asli adalah kuasa penentu yang harus diperhatikan dalam landskap politik di Malaysia pasca PRU14 pada 9 Mei 2018 yang lepas. - Bernama