MoU ikat peranan, fungsi ahli Parlimen pembangkang - Hassan Karim

Iklan
Hassan Abdul Karim

SHAH ALAM - Draf memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan didakwa mengikat peranan dan fungsi Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, apabila kesemua ahli Parlimen sama ada pihak kerajaan, pembangkang mahupun bebas menandatangani dokumen angkat sumpah di hadapan Speaker atau Yang Dipertua Dewan Rakyat, golongan berkenaan tidak perlu berbuat perkara sama terhadap MoU.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sifat MoU itu akan 'memandulkan' dan 'membonsaikan' peranan pembangkang di Parlimen, malah hilang kebebasan untuk berperanan sebagai satu kuasa efektif bagi melakukan semak imbang terhadap kerajaan.

"Ahli Parlimen pembangkang dan gabungannya yang merupakan 'shadow government' terpaksa tutup mulut dalam perkara penting melibatkan rakyat atau negara.

Iklan

"Kenapa? Ini kerana mereka telah menandatangani MoU dengan kerajaan iaitu badan Eksekutif. Jadi, MoU yang dikemukakan bersifat membelenggu kebebasan ahli Parlimen pembangkang dan gabungannya.

"Kewujudan MoU bercanggah dengan amalan demokrasi berparlimen. Di bawah Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan, setiap anggota Parlimen dikehendaki mengangkat sumpah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Malaysia," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sehari selepas pembangkang sebulat suara menolak MoU berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen PN, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof tampil mendedahkan dua draf sebenar dokumen yang masih menjadi kontroversi itu.

Jelas beliau, tindakan tersebut dibuat bagi membolehkan rakyat menilai sendiri dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai perjanjian terbabit adalah tidak berasas sama sekali.

Hamzah memaklumkan, antara sebab penolakan adalah MoU bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana beberapa syarat dikenakan dalam dokumen dikhuatiri menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Menurutnya lagi, MoU terbabit dilihat bertentangan dengan nilai budaya, moral, agama dan tempatan.

Hassan berpendapat, cadangan memperkenalkan MoU pada asasnya adalah satu contoh pencerobohan kuasa Eksekutif iaitu kerajaan berkuasa terhadap kebebasan ahli Parlimen pembangkang yang merupakan pihak berkepentingan dalam Parlimen.

Tambah wakil rakyat daripada Pakatan Harapan (PH) itu, reformasi yang diperlukan di Parlimen adalah apabila kerajaan membawa satu rang undang-undang (RUU) Peruntukan Kawasan Parlimen.

"Setiap kawasan Parlimen di seluruh negara diberi hak secara automatik tanpa syarat atau menandatangani sebarang MoU.

"Ahli Parlimen sama ada di blok kerajaan, pembangkang atau bebas dijanjikan oleh undang-undang untuk dapat peruntukan kawasan masing-masing sama adil.

"Undang-undang beginilah mesti diinstitusikan mulai sekarang, bukannya MoU seperti yang dihebohkan ketika ini," ujar Hassan.