Nama Zayn Rayyan Abdul Matiin kekal dalam kertas pertuduhan

Iklan
Ibu bapa kanak-kanak autistik iaitu Zaim Ikhwan (kiri) dan Ismanira hadir ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Rabu, bagi prosiding sebutan kes mengabai Zayn Rayyan, Disember tahun lalu. FOTO SINAR HARIAN-NOOR AZLIDA ALIMIN

PETALING JAYA – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu mengekalkan nama Zayn Rayyan Abdul Matiin, dalam kertas pertuduhan kes pengabaian yang dihadapi ibu bapa kanak-kanak autisme itu.

Hakim, Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh berkata, pendakwaan tidak akan meminda nama Zayn Rayyan Abdul Matiin kepada Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan.

Iklan
Iklan

Kalmizah berkata, ini kerana peguam yang mewakili ibu bapa mangsa, Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan Ismanira Abdul Manaf, 29, hanya membuat permohonan pindaan itu secara lisan semasa prosiding terdahulu.

"Susulan itu, kami berharap mahkamah menolak permohonan berkenaan dan mengekalkan nama tersebut pada kertas pertuduhan,” katanya ketika sebutan kes.

Iklan

Sementara itu, peguam, Fahmi Abd Moin yang mewakili pasangan suami isteri ini berkata, pembelaan akan akur sekiranya mahkamah mengarahkan permohonan pindaan nama dibuat secara rasmi.

"Saya faham, sebelum ini kami buat permohonan secara lisan dan tidak melampirkan sebarang afidivit sokongan.

Iklan

"Isu permohonan meminda nama ini tidak mendatangkan prejudis kepada pihak pendakwaan atau pembelaan kerana ia merujuk kepada individu yang sama,” katanya.

Selain nama itu beliau berkata, nama Zayn Rayyan telah disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Beliau berkata, ia berdasarkan dokumen diperolehi daripada JPN yang mengesahkan nama sebenar kanak-kanak itu telah dibetulkan daripada Zayn Rayyan Abdul Matiin kepada Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan.

Sementara itu, ketika sidang media, Fahmi berkata, pihaknya akan mengemukakan notis usul pindaan nama di mahkamah sama, selepas berbincang dengan ahli keluarga anak guamnya.

"Pihak pendakwaan menolak permohonan itu tanpa menyatakan sebarang alasan yang kukuh.

"Bagaimanapun, kami menghormati keputusan mahkamah dan akan berbincang semula untuk meneliti tindakan selanjutnya,” katanya.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di Sungai, kira-kira 200meter dari blok kediamannya.

Pada 13 Jun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya pada jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ia berserta tambahan kepada hukuman yang dinyatakan dalam subseksyen (1), memerintahkan orang yang disabitkan atas kesalahan di bawah subseksyen itu menyempurnakan bon dengan penjamin berkelakuan baik selama apa-apa tempoh dan dengan apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah serta melaksanakan khidmat masyarakat.