PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain boleh menarik nafas lega apabila barisan pemain utama mula turun menjalani latihan pada petang Selasa.
Menurutnya, kehadiran semula pemain-pemain tersebut penting bagi persediaan menghadapi Sri Pahang FC bagi aksi Liga Super 2024-2025 di Stadium Darul Aman pada Jumaat.
"Saya sangat bersyukur kerana pemain utama telah kembali menjalani latihan bersama pasukan di padang latihan dan kita sudah pasti kami mahu meneruskan usaha untuk memberi saingan dalam Liga Super.
"Walaupun kita tahu tempoh latihan yang akan kita lalui ini singkat dan hujan di sebelah petang, namun kehadiran semula pemain di padang latihan satu rahmat buat semua dalam usaha memperkuatkan kembali pasukan," katanya.
Jelas Nafuzi, keadaan cuaca hujan sejak beberapa hari lalu turut membataskan persiapan Sang Kenari dan mengakui semua pemainnya masih tidak berada dalam kecergasan paling baik setakat ini.
Walaubagaimanapun, pasukan kejurulatihan akan membuat persiapan sebaik mungkin dan memanfaatkan masa yang ada selepas pemain utama tidak turun menentang Kuala Lumpur City FC pada aksi Liga Super, Sabtu lalu.
"Keadaan pemain terkini kurang dari aspek kecergasan namun kita akan cuba sedaya upaya untuk mengatur strategi kerana kita tetap menagih khidmat mereka pada perlawanan menentang Sri Pahang.
"Selepas kita keciciran mata, kita perlu bangkit semula dan kita kena yakin dengan usaha yang sedang kita lakukan," ujarnya.
Tambah Nafuzi, pada waktu sama, seramai lima pemain senior iaitu Irfan Zakaria, Ariff Farhan, Rizal Ghazali, Halim Saari dan Aiman Afif diturunkan dalam kesebelasan utama KDA FC B menentang Sri Pahang dalam saingan Piala MFL.
Menurutnya, penyertaan mereka bersama pasukan KDA FC B bertujuan meningkatkan tahap kecergasan masing-masing selepas lama tidak menjalani latihan.
Pada aksi Liga Super Sabtu lalu, KDA FC yang diwakili pemain bawah 23 tahun tewas 5-0 kepada pasukan KL City manakala Sri Pahang berada pada momentum baik selepas menewaskan PDRM FC juga 5-1.