PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Pasukan pembelaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf belum menerima sebarang maklumat siasatan berhubung laporan mengenai anak guamnya berdepan dengan ugutan, tekanan dan manipulasi sepanjang tempoh direman pada 1 Jun sehingga 13 Jun lalu.
Peguam, Fahmi Abd Moin berkata, susulan terdapat pelbagai isu yang berlaku sepanjang 13 hari kedua anak guamnya itu direman, satu laporan polis dibuat oleh Zaim Ikhwan dan Ismanira pada 25 Julai lalu.
"Kedua-dua mereka membuat laporan berkaitan dengan apa yang berlaku dalam tempoh reman ketika itu.
"Dalam reman berkenaan kedua mereka melaporkan menerima pelbagai ugutan, tekanan, manipulasi dan macam-macam cerita untuk membuat pengakuan di hadapan pihak polis," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas selesai sesi perbicaraan di pekarangan luar Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini pada Rabu.
Katanya, pihaknya difahamkan tiga kertas siasatan dibuka berkaitan laporan yang dibuat itu.
"Kami difahamkan kertas siasatan berkenaan dibuka oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Sungai Buloh dan Shah Alam.
"Bagaimanapun sehingga kini tidak ada apa-apa maklumat yang kami terima berkaitan siasatan dijalankan," katanya.
Menurutnya, pihaknya tidak boleh mendedahkan butiran laporan polis yang dibuat itu.
"Berkaitan laporan dan siasatan berkenaan terhadap siapa, kami tidak boleh dedahkan hari ini, itu mungkin kami akan dedahkan dalam perbicaraan nanti.
"Kami harap siasatan diteruskan untuk menyiasat sama ada berlaku atau tidak perkara sebegini sepanjang tempoh reman dijalankan bagi membersihkan nama anak-anak guam," katanya.
Fahmi berkata, pihak polis diharapkan agar mengambil kes itu secara serius dan menyiasat secara telus dan adil.
"Kami meminta polis melihat isu ini dan memanggil semula mereka yang berkaitan untuk berikan keterangan dan mendedahkan cerita yang benar.
"Hal ini kerana laporan telah dibuat dan laporan berkenaan juga telah menamakan individu terlibat dalam isu ini," katanya.
Terdahulu, media melaporkan pasangan terbabit ditahan polis di rumah keluarga mereka di Selangor dan direman bagi siasatan kes berkenaan.
Pada 13 Jun lalu, ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, pada pukul 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Polis mengesahkan mangsa dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.