KUALA LUMPUR - Pasukan perubatan peribadi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberikan rawatan kecemasan kepada dua penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Sultan Ismail di sini, hari ini.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, seorang doktor pakar perubatan kecemasan bersama anggota paramedik serta juruteknik perubatan kecemasan sedang dalam perjalanan mengiringi Seri Paduka Baginda ketika kejadian berlaku.
"Sebaik melihat kemalangan itu, doktor bersama pasukan perubatan peribadi Seri Paduka Baginda segera memberikan rawatan kecemasan kepada kedua-dua lelaki terbabit.
"Seorang daripada mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan susulan menggunakan ambulans peribadi Seri Paduka Baginda,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut ambulans peribadi milik Sultan Ibrahim dilengkapi dengan pelbagai aspek klinikal, termasuk mesin bantuan hayat, mesin bantuan pernafasan, alat defibrilator luaran automatik (AED), dan mesin bantuan pernafasan automatik.
Selain itu, ambulans tersebut turut dilengkapi peralatan untuk rawatan luka akibat kebakaran serta peralatan asas kecemasan akibat kemalangan jalan raya. - Bernama