GEORGE TOWN - Pertembungan angin kencang dan air pasang tinggi di negeri ini telah menyebabkan limpahan air laut ke daratan.
Susulan daripada itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan aktiviti di laut atau persisiran pantai sepanjang musim cuaca buruk ini.
Bagaimanapun Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran berkata, keadaan di sepanjang Esplanade atau lebih dikenali sebagai Padang Kota Lama adalah selamat.
Tambah beliau, tembok penahan ombak di sepanjang Padang Kota adalah kukuh dan orang ramai tidak perlu bimbang dengan keselamatan ketika berada di kawasan tersebut.
"Tembok di situ telah dibina untuk menahan ombak besar iaitu setinggi 2 hingga 2.5 meter.
"Walaupun ada limpahan air laut seperti semalam, ia hanya melibatkan limpahan air sahaja, bukan bencana lain.
"Orang ramai yang makan di kawasan Medan Renong dan beriadah di sepanjang Padang Kota Lama, tidak perlu bimbang kerana sememangnya tembok yang dibina adalah kukuh dan selamat," katanya ketika sidang akhbar di Dewan Bandaraya di sini pada Rabu.
Pada tengah hari Selasa, angin kencang dan air pasang luar biasa menyebabkan ombak kuat melanda di beberapa kawasan di negeri ini.
Antara kawasan tersebut ialah Medan Renong di Padang Kota, Bagan Ajam di Butterworth dan Pantai Teluk Bayu di Bayan Lepas.
Medan Renong antara kawasan yang terjejas teruk apabila air laut melimpah masuk ke medan selera tersebut.
Menerusi beberapa klip video yang tular di media sosial, kelihatan peniaga bertempiaran melarikan diri selepas air laut memasuki kawasan medan selera itu.
Bagaimanapun, kawasan Medan Renong kembali bersih seperti biasa selepas petugas MBPP selesai membersihkan medan selera itu pada jam 3.45 petang.
Rajendran berkata, berdasarkan rekod yang diperolehi dari stesen MBPP, bacaan purata hujan bermula 15 hingga 17 September adalah 39.5 milimeter sehari.
Menurutnya, dalam tempoh sama, kelajuan angin direkodkan 63 kilometer sejam (km/j) di dua stesen iaitu T37 USM dan Prangin.
"Mengikut skala Beaufort, kelajuan angin tersebut dikategorikan sebagai angin kencang atau ribut. Sepanjang tempoh ini juga, kejadian air pasang tinggi juga dikesan berlaku di kawasan perairan Pulau Pinang.
"Paras air laut direkodkan pada paras 1.8 hingga 2 meter. Pertembungan fenomena cuaca ini telah menyebabkan limpahan air laut ke daratan," katanya.
Sementara itu, tinjauan di Padang Kota Lama mendapati, angin kencang menyebabkan ombak besar disusuli dengan hujan.
Kelihatan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk melihat sendiri sambil merakam ombak besar yang memukul tebing di sepanjang Padang Kota Lama itu.
Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Amir Izzuddin Omar, 23, berkata, dia bersama rakannya Muhammad Bukhari Bakri, 23 yang juga pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil peluang untuk bersiar-siar sambil merakam air laut yang bergelora.
"Kami saja datang jalan-jalan sambil rakam video dan gambar ombak besar. Waktu-waktu begini seronok tengok laut bergelora.
"Tetapi kami tidak lah tunggu di tepi tembok kerana ombak tinggi. Rakam dari jauh sahaja," kata Amir Izzuddin.
Seorang lagi pengunjung, Mahmad Samad, 60 berkata, dia mengetahui keadaan cuaca yang melanda Pulau Pinang lalu mengambil peluang untuk melihatnya sendiri.
"Sudah dua hari saya datang ke sini. Saja nak tengok ombak dan laut. Saya rasa, semalam ombak dan angin lagi kuat berbanding hari ini.
"Sengaja saya datang, nak lihat sendiri fenomena ini kerana ia bukan selalu berlaku," katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Dalam kenyataan pada Selasa, MetMalaysia memaklumkan amaran yang itu berkuat kuasa sehingga Khamis ini.
Penumpuan angin berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh lebih panjang di kawasan terbabit, serta angin kencang serta laut bergelora di perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka Utara.
Sementara itu, di beberapa negeri lain, MetMalaysia menjangkakan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang masih berpotensi berlaku sepanjang minggu ini.