Pengerusi pusat pengajian swasta didakwa amang seksual remaja 14 tahun

Iklan
Mohd Hafidz Eshak diiringi anggota polis ketika tiba di Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan.

SEREMBAN - Seorang pengerusi sebuah pusat pengajian swasta di Port Dickson dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan.

Tertuduh, Mohd Hafidz Eshak, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Iklan
Iklan

Berdasarkan kesemua pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Perbuatan tersebut dilakukan tertuduh antara awal bulan Mac hingga 28 Ogos lalu sekitar jam 3 petang hingga 11 malam di dua lokasi berbeza iaitu di sebuah rumah di Bandar Dataran Segar, Port Dickson dan sebuah pusat pengajian di Jalan Seremban dalam daerah Port Dickson.

Iklan

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dihukum dengan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi dan Noraziha Asmuni mencadangkan wang jaminan sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Iklan

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Datuk Hanif Hassan dan Nur Haifa Husna Zuhaimi memohon jaminan rendah dan munasabah dikenakan terhadap tertuduh.

"Saya juga ingin membetulkan sedikit persepsi bahawa kes ini tiada kena mengena dengan operasi atau pertuduhan mana-mana pihak GISB Holdings," katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM12,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mangsa atau mana-mana saksi pendakwaan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 Oktober ini.

Sebelum itu, tertuduh turut didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson atas pertuduhan mencabul seorang guru praktikal wanita berusia 19 tahun di sebuah pusat pengajian di Port Dickson pada Ogos lalu.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.