'Ayah dihempap pokok ketika nikmati hujan' - Anak mangsa

Iklan
Che Zakariah (belakang, empat dari kiri) bersama ahli keluarga. Foto Nur Ain

KUANTAN - Seorang warga emas maut selepas sebatang pokok tumbang menghempap tapak perkhemahan di Kem Nemo Pantai Balok di sini pada Selasa.

Ketika kejadian, mangsa, Che Zakariah Che Ali, 67, dikatakan duduk di kerusi rehat selepas makan bersama keluarganya sekitar jam 3 petang.

Iklan
Iklan

Difahamkan, mangsa ke tapak perkhemahan itu bersama 13 ahli keluarga sejak Isnin lalu.

Menurut anak mangsa, Nur Ain, 34, sebelum kejadian dia sempat melihat bapanya menikmati hujan.

Iklan

"Hujan tak lebat masa itu, tapi saya rasa tak sedap hati bila dengar bunyi di kawasan khemah kami.

"Tiba-tiba pokok besar tumbang dan dahan besar jatuh atas kaki ayah. Kami cuba bantu alihkan, tapi kecederaannya sangat parah." katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Lokasi Che Zakariah maut selepas dihempap pokok ketika berkhemah bersama keluarga di di Kem Nemo di Pantai Balok.

Iklan

Mangsa yang mengalami kecederaan teruk di bahagian kaki dilaporkan meninggal dunia walaupun usaha menyelamat dilakukan dengan pantas.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata, tidak menyangka percutian keluarga yang dirancang sempena cuti sekolah berakhir dengan tragedi.

"Kami pasang lima khemah untuk bercuti tapi siapa sangka ini kali terakhir bersama ayah," katanya.

Mangsa yang tinggal di Felda Cerul 2, Kemaman, Terengganu itu dibawa ke Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah (SASMEC) untuk proses pengesahan kematian.

Jenazah mangsa kemudiannya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Cherul, Kemaman pada jam 2.30 pagi Rabu.

Kejadian itu turut menyebabkan seorang cucu mangsa, Nurul Amni Aisyah Mohamad Afiq, 7, mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan.

Keadaan kanak-kanak itu dilaporkan stabil.

Susulan kejadian ribut kencang yang melanda kawasan Balok, operasi tapak perkhemahan itu ditutup buat sementara waktu.