Parti pemerintah Jepun cadang pemilihan PM baharu pada 1 Oktober

Iklan
Calon untuk pilihan raya presiden Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah Jepun. Foto AFP

TOKYO - Parti Demokratik Liberal (LDP), parti pemerintah Jepun mencadangkan agar pemilihan perdana menteri baharu diadakan pada 1 Oktober ketika permulaan sesi khas Diet, susulan pengunduran Perdana Menteri Fumio Kishida, menurut laporan Agensi Berita Kyodo pada Rabu.

Pemenang pemilihan kepimpinan LDP pada 27 September ini, hampir pasti menjadi perdana menteri baharu Jepun kerana kedua-dua dewan parlimen dikawal oleh gabungan pemerintah.

Iklan
Iklan

Perdana menteri baharu juga perlu mendapat sokongan daripada kedua-dua dewan itu.

Tarikh pemilihan dijangka dimuktamadkan pada 24 September, dengan Kabinet semasa akan memutuskan jadual rasmi pada hari yang sama.

Iklan

Butiran seperti tempoh sesi khas Diet akan ditentukan oleh perdana menteri yang baharu.

Daripada sembilan calon yang bertanding untuk menggantikan Kishida, calon termuda, Shinjiro Koizumi menyuarakan hasrat untuk membubarkan Dewan Rakyat"secepat mungkin" jika beliau dipilih sebagai perdana menteri.

Iklan

Tarikh 27 Oktober dan 10 November disebut sebagai tarikh yang mungkin untuk pilihan raya Dewan Rakyat, namun perdana menteri mempunyai kuasa untuk menentukan tarikh pembubaran Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, pilihan raya akan datang mesti diadakan sebelum Oktober 2025. - Bernama