Semak laporan audit usaha bendung rasuah

Iklan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohammad Amar

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengadakan kunjungan secara berkala ke agensi kerajaan atau sektor swasta dan menyemak pelaporan audit kerana ia satu langkah baik bagi membendung jenayah rasuah daripada berleluasa dalam organisasi.

Presiden Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (Gema), Mohammad Amar Masuri berkata, pengukuhan terhadap sistem pelaporan dalaman atau 'whistleblowing' juga perlu dipertimbangkan sebagai cadangan kerana ia saluran rahsia buat pekerja yang mahu melaporkan sebarang aktiviti rasuah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, cadangan sedemikian mampu meningkatkan tahap keberanian pengadu untuk melaporkan kesalahan tanpa perlu bimbang tentang risiko keselamatan atau dikenakan tindakan oleh pegawai atasan.

"Cadangan lain adalah perlu ada audit luar berkala. Selain audit dalaman, organisasi juga boleh libatkan badan audit bebas untuk membuat semakan bagi mengurangkan risiko manipulasi.

Iklan

"Seterusnya, kempen banteras rasuah perlu dibuat berterusan kepada orang awam dan pekerja mengenai etika atau kesan rasuah agar ia mampu mewujudkan budaya kerja berintegriti.

"Kempen kesedaran di peringkat nasional dan organisasi perlu diperhebat untuk menunjukkan betapa seriusnya jenayah yang membarah dalam masyarakat ketika ini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Mohammad Amar turut berpandangan, penglibatan masyarakat sivil dan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dalam memantau isu rasuah seperti gabungan Rasuah Busters berupaya membina tekanan awam terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan rasuah.

Tambahnya, gerakan terbabit mampu dilaksanakan secara besar-besaran agar usaha membendung gejala rasuah lebih terancang dan berimpak tinggi.

"Dengan adanya gabungan ini, peluang untuk mencegah rasuah dapat ditingkatkan demi menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih sejahtera dan bebas korupsi," ujar beliau.