SHAH ALAM - Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah yang sewajarnya sekiranya mendapati kad pengenalan diri mereka hilang bagi mengelak daripada sebarang implikasi buruk di kemudian hari.
Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim mengakui kehilangan dokumen pengenalan diri itu mampu mengundang pelbagai lagi masalah lain seperti penyamaran, penipuan identiti, mendapatkan khidmat percuma secara curang dan juga pemalsuan dokumen.
Menurutnya, jika kehilangan itu disebabkan bencana seperti kebakaran, ia tidaklah membawa apa-apa manfaat kerana kad tersebut telah musnah dan tidak boleh digunakan sama sekali
"Bagaimanapun jika kad pengenalan itu masih utuh, ia berpotensi untuk digunakan bagi tujuan salah laku, fraud malah kesalahan jenayah.
Mengulas lanjut, Kamal Affendi juga tidak menolak kemungkinan kad pengenalan yang hilang itu juga dijual kepada pendatang asing atau sebagainya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Justeru, masyarakat seharusnya perlu lebih peka dalam menjaga keselamatan kad pengenalan yang mengandungi data peribadi mereka dan juga lebih bertanggungjawab sekiranya menjumpainya di mana-mana untuk diserahkan kepada pihak polis ataupun kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terdekat.
"Jadi mereka yang kehilangan kad pengenalan perlu segera membuat laporan kepada pihak berwajib agar tidak menjadi mangsa penipuan dan sebagai.
"JPN juga perlu memainkan peranan mereka berhubung kesan daripada kehilangan kad pengenalan ini dengan menguar-uarkan dalam bentuk poster digital bagi edaran media sosial untuk membuka mata dan minda masyarakat tentang pentingnya penjagaan keselamatan terhadap dokumen rasmi tersebut,” jelasnya.