Dalang utama bawa masuk warga asing guna 'counter setting' didakwa Oktober

Iklan
Dalang utama sindiket membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi 'counter setting' atau laluan kaunter khas akan didakwa awal Oktober ini. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Dalang utama sindiket membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi 'counter setting' atau laluan kaunter khas akan didakwa awal Oktober ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, suspek berusia 40-an yang bertugas sebagai pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu ditahan pada 5 September lalu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, suspek yang dipercayai mempunyai pengaruh besar dalam kalangan petugas imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah berkhidmat selama 20 tahun.

"Suspek dikatakan menjadi dalang dengan mengawal 50 pegawai lain untuk menjalankan operasi sindiket membawa masuk warga asing ke negara ini.

Iklan

"Malah beliau yang masih bertugas di KLIA dipercayai amat berpengaruh dan boleh memberi arahan kepada petugas imigresen di tempat kerjanya," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Mengulas lanjut, Azam berkata, pihak SPRM telah menjalankan risikan dan siasatan berhubung kes itu di KLIA selama enam bulan.

Iklan

Jelas beliau, maklumat diperoleh daripada sumber dalaman di KLIA.

Kata beliau,setakat ini, seramai 60 individu telah ditahan dalam Ops Pump, Ops Pump 2.0 dan Ops Setting yang bermula pada 20 Ogos lalu.

Ia selepas SPRM membongkar kegiatan sindiket membawa masuk warga asing termasuk dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan, dan Nepal, menggunakan laluan kaunter khas.

"Mereka yang ditahan ialah 49 pegawai imigresen, seorang pegawai polis, dua ejen dan lapan keldai akaun.

"Sebanyak 37 kertas siasatan dibuka dan 95 individu direkod keterangan," ujarnya.