Bahana judi dalam talian

Iklan
Individu yang ketagihan judi sering berhadapan tekanan mental akibat kerugian berterusan hingga mengubah tingkah laku mereka. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR -"Suami ketagih judi online (dalam talian), berhutang dengan along, bil rumah, belanja barang dapur, sekolah anak-anak semua saya tanggung, saya pun dah tak tahan setiap hari dimaki, ditengking, rasa mahu berpisah.”

Ini antara satu kisah pahit angkara 'tahi judi' yang bukan sahaja menyebabkan individu terbabit terjerumus ke lembah hutang malah lebih parah lagi meruntuhkan institusi kekeluargaan yang dibina atas dasar kasih sayang dan cinta.

Iklan
Iklan

Kisah tersebut adalah luahan seorang wanita yang identitinya dirahsiakan dalam kumpulan Facebook 'Tanya Peguam' dengan lebih 180,000 ahli.

Dikendalikan oleh lima pentadbir serta moderator berlatar belakangkan undang-undang, kumpulan Facebook berkenaan berperanan membantu warga maya mendapatkan nasihat guaman secara percuma.

Iklan

Mengakui perkara itu berlaku dalam kalangan masyarakat negara ini, pensyarah Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Rosmawati Mohamad Rasit berkata, ketagihan judi dalam talian membawa kesan serius kepada keharmonian keluarga, terutamanya aspek emosi dan kewangan.

Beliau berkata, individu yang ketagihan judi sering berhadapan tekanan mental akibat kerugian berterusan hingga mengubah tingkah laku mereka dan akhirnya memberi kesan negatif kepada hubungan kekeluargaan seterusnya berkesudahan dengan perceraian.

Iklan

"Emosi anak-anak pula terjejas, rasa tertekan, malu dan rendah diri dengan tingkah laku kaki judi ibu atau bapa mereka dan lebih bahaya anak-anak ini mungkin terpengaruh sekali gus mewarisi tabiat buruk itu," katanya kepada Bernama.

Turut senada Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Rojanah Kahar yang berpendapat masalah ketagihan judi amat sinonim dengan peningkatan kes perceraian, keganasan rumah tangga dan pengabaian anak.

Beliau menjelaskan ketagihan berjudi memberi implikasi amat besar kepada kedudukan kewangan seseorang apabila ada yang sanggup menghabiskan simpanan sendiri dan seterusnya meminjam daripada kawan-kawan, ahli keluarga hingga terjerat dengan perangkap along.

"Ia berlarutan hingga ke satu tahap mereka tidak mampu memenuhi keperluan harian. Akibatnya, kesejahteraan dan masa depan keluarga terjejas sekali gus memberi kesan buruk kepada institusi kekeluargaan, sosial, politik dan ekonomi serta merugikan produktiviti negara," tambahnya.

Mengikut statistik yang diperoleh daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tempoh antara 1 Januari hingga 10 September lepas, sebanyak 101,669 hantaran di media sosial telah dilaporkan kerana mempromosikan aktiviti perjudian dan daripada jumlah itu 92,342 hantaran atau 91 peratus telah berjaya diturunkan.

Platform di Meta iaitu Facebook dan Instagram mencatatkan penurunan hantaran tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 97 peratus dan 2 peratus manakala Telegram hanya satu peratus.

Dalam perkara itu, MCMC sentiasa komited untuk melindungi orang ramai daripada ancaman kandungan memudaratkan termasuk penyebaran aktiviti perjudian dengan melakukan pemantauan dan penurunan kandungan dalam talian yang berkaitan melalui kerjasama agensi penguatkuasaan undang-undang seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak penyedia platform.

MCMC turut menggesa orang ramai agar berwaspada dan tidak terlibat dengan sebarang kandungan yang mempromosikan perjudian dan laporkan segera kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan.

Sementara itu, pakar kewangan pengguna, Prof Dr Mohamad Fazli Sabri pula menjelaskan segelintir individu 'tahi judi' bagaikan berhalusinasi apabila menggangap ketagihan terhadap kegiatan haram itu sebagai 'pekerjaan sambilan' untuk menambah pendapatan.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia UPM itu berkata, terdapat juga segelintir pihak seolah-olah berfikiran judi dalam talian itu satu jalan pintas untuk mendapatkan duit segera dengan kaedah 'pelaburan di hujung jari'.

"Judi ini tak perlu lagi ke premis, boleh main di mana-mana, melabur banyak-banyak kononnya tak rugi namun tak sedar dah mula habis duit, terjebak dengan along manakala yang bekerja ada potensi lakukan pecah amanah untuk dapatkan duit poket, buat pinjaman peribadi hingga tak mampu bayar dan akhirnya jatuh muflis," jelasnya.

Justeru, Mohamad Fazli menasihatkan mereka yang sudah terjerumus ke kancah krisis kewangan akibat ketagihan berjudi agar segera menghentikan pembabitan dalam aktiviti tidak bermoral itu, seterusnya mendapatkan bantuan pihak berautoriti.

"Boleh runding dengan pihak pemberi pinjaman seperti bank, sekiranya ada pinjaman tidak mampu dibayar boleh minta penangguhan bayaran atau mohon lakukan penstrukturan semula, lakukan sebelum diisytihar muflis.

"Boleh juga ke AKPK (Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit) atau sertai program pengurusan kredit, ini semua jauh lebih baik daripada sekadar dapatkan nasihat kawan-kawan yang kadangkala hanya pandai cakap sahaja," katanya sambil menasihati semua pihak untuk sentiasa mematuhi undang-undang negara.

Dalam pada itu, berkongsi statistik Laporan Serbuan Perjudian Online (JOL) oleh Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterisme (D7) Bukit Aman kepada Bernama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan sebanyak 5,550 tangkapan dilakukan sejak Januari hingga 11 Sept tahun ini.

Laporan JOL itu menunjukkan Selangor mencatatkan tangkapan tertinggi melibatkan 879 individu diikuti Sarawak (790) dan Sabah (642), dengan daripada keseluruhan 4,367 serbuan dilakukan telah merekodkan nilai rampasan wang berjumlah RM699,249. - Bernama