Sedia bincang MoU jika ada draf baharu, tubuh jawatankuasa

Iklan
Takiyuddin (tengah) bersama beberapa Ahli Parlimen PN dari Kelantan dan Kedah semasa sidang akhbar di Kota Bharu pada Rabu.

KOTA BHARU - Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gabungan itu bersedia membincangkan kembali Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang jika Kerajaan Perpaduan menyediakan draf baharu dan menubuhkan jawatankuasa.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, seandainya kerajaan mahu meneruskan dengan kandungan sedia ada, PN tidak akan berunding selepas ini.

"MoU ketika ini tiada ruang kepada kami (PN) untuk memberi pandangan. Dia (kerajaan) suruh kita terima sahaja.

Iklan

"Jadi kita tidak terima, kita beritahu. Kecuali datang satu draf yang dibincangkan bersama dengan kami, tubuhkan satu jawatankuasa dahulu," katanya semasa sidang akhbar di Pejabat Pas Kota Bharu di sini pada Rabu.

Hadir sama beberapa Ahli Parlimen PN dari Kelantan dan Kedah.

Iklan

Menurut beliau, sesuatu perjanjian yang betul adalah dengan memanggil kedua-dua pihak terlibat untuk berbincang.

"Ini tiba-tiba mari dengan perkara yang hanya mementing kepentingan satu pihak sahaja. Itu bukan cara yang betul.

"Bincang dahulu apa yang hendak di masukkan (dalam MoU), apa tidak boleh dimasukan, itulah caranya.

"Kalau seorang peguam nak buat satu perjanjian antara dua pihak, peguam itu kena panggil kedua-duanya yang terlibat bincang baharulah masuk dalam perjanjian," katanya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, pembangkang telah membuat ketetapan menolak MoU daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan tersebut dibuat berasaskan empat sebab utama.

Menurutnya, alasan berkenaan ialah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.

Ujarnya, draf MoU tersebut turut mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral, agama serta nilai-nilai tempatan.

Tiada keperluan PN beri maklum balas berhubung draf MoU

Dalam pada itu, Takiyuddin menyifatkan tiada keperluan untuk mereka memberi sebarang maklum balas berhubung draf MoU tersebut.

Menurut beliau, berdasarkan pada surat yang dihantar kepada mereka ia tidak meminta PN mengemukakan sebarang pandangan.

"Surat dari pejabat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof itu tidak pun meminta kita hantar apa-apa.

"Walaupun kita faham dia (Timbalan Perdana Menteri) mengharapkan kita berbuat demikian," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu itu, buat masa ini beliau beranggapan cukuplah sekadar maklumkan penolakan MoU tersebut kepada rakyat Malaysia.