PRK Mahkota: Jangan guna simpati arwah mak saya sebagai bahan kempen PN

Iklan
Hantaran Facebook Wan Mohd Hibatullah pada Selasa.

KLUANG - Anak sulung kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain mempersoalkan kenyataan Timbalan Pengarah Operasi Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa berkenaan satu majlis tahlil khas yang akan diadakan dengan kerjasama keluarga Allahyarham.

Wan Mohd Hibatullah Abu Bakar menegaskan, perkara tersebut tiada dalam pengetahuannya dan keluarga.

Iklan
Iklan

"Bila ni? saya sebagai anak sulung Dato Sharifah Azizah Syed Zain tak tahu pun.

"Saya mohon jasa baik tidak gunakan simpati arwah mak saya sebagai bahan kempen.

Iklan

"Sedih lah mcm ni. Tolong la jaga sensitiviti kami sekeluarga," katanya menerusi hantaran di Facebooknya menggunakan nama El Patron Wmhibatullah pada Selasa.

Annuar menerusi laman sosial Facebook mendakwa akan mengadakan majlis khas untuk Allahyarham Sharifah Azizah dan majlis Maulidur Rasul pada 24 September ini dengan kerjasama keluarga arwah.

Iklan

Katanya, ia merupakan antara program yang disusun PN sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang mana beliau akan turut serta bersama-sama beberapa pemimpin PN lain bermula 22 September ini.

Dalam pada itu, Wan Mohd Hibatullah menegaskan, keluarganya akan tetap bersama Barisan Nasional (BN).

"Kami tetap bersama BN dan kami sekeluarga menghormati pimpinan Menteri Besar Johor.

"Saya akan meneruskan perjuangan Ummie bersama UMNO dan BN," katanya.

Sharifah Azizah meninggal dunia pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.