Rempuh lori rosak, kelindan maut kemalangan di LPT2

Iklan
Keadaan lori yang terlibat kemalangan di KM 258.1 LPT2 di Perasing, Kemaman pada Rabu. Foto pengguna media sosial

KUALA TERENGGANU - Seorang kelindan lelaki warganegara India maut selepas lori dinaikinya merempuh lori lain yang mengalami kerosakan di Kilometer 258.1 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Perasing, Kemaman pada 7.30 pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mangsa, B Kalimuthu yang berusia lingkungan 40-an maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan tangan kiri manakala pemandu, M Gengan, 50-an, pula cedera di kepala.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila lori dipandu Gengan yang menghala ke Kuala Terengganu telah terbabas sebelum merempuh sebuah lori yang berhenti di laluan kecemasan akibat kerosakan di lokasi berkenaan.

"Akibat perlanggaran itu, lori dipandu Gengan terbalik di tengah lebuh raya dan menghalang laluan. Berlaku sedikit kesesakan, namun berjaya dialihkan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, pemandu dan kelindan di dalam lori yang dirempuh pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat. Gengan juga dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Iklan