HULU KELANG - Program Darul Ehsan Berselawat Insan Teragung yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini terpaksa ditangguhkan.
Sekretariat program berkenaan memaklumkan, program sepatutnya diadakan di padang MPAJ AU2 di sini ditunda atas kesulitan yang berlaku.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan susulan kawasan penganjuran berpotensi mengalami bencana banjir.
"Ingin dimaklumkan bahawa penundaan ini adalah disebabkan oleh kawasan (program) berpotensi mengalami bencana banjir.
"Pihak kami lebih mementingkan keselamatan semua dan kami juga sedang berusaha secepat mungkin untuk menyelesaikan perkara ini serta akan memaklumkan tarikh baharu sebaik sahaja ia ditetapkan," katanya menerusi kenyataan.
Susulan itu, pihaknya memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul.
"Kami amat menghargai kesabaran serta pemahaman anda dalam situasi ini.
"Terima kasih atas perhatian dan sokongan anda. Teruskan menyokong kami dari belakang," menurut kenyataan itu.