Seludup anak buaya julung-julung, kura-kura bernilai RM1.81 juta

Iklan
WCB/PSK JKDNKA PDRM merampas 30 ekor anak buaya julung-julung dalam serbuan di ibu negara, pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Sindiket yang menyeludup masuk 30 ekor anak buaya julung-julung dan 14 ekor kura-kura jenis Indian Eyed Turtle bernilai RM1.81 juta tumpas dalam serbuan di ibu negara, pada Selasa.

Serbuan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) itu dilakukan sepasukan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA).

Iklan
Iklan

Pemangku Pengarah JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, operasi itu turut menahan seorang suspek lelaki warga asing berusia lingkungan 40-an.

Kura-kura jenis Indian Eyed Turtle dirampas polis dalam serbuan di ibu negara pada Selasa.

"Berdasarkan maklumat dan risikan, suspek membawa spesies hidupan liar ini dari sebuah negara di Asia Selatan melalui laluan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 68(1) dan Seksyen 69 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan mendapati harga jualan di pasaran gelap bagi seekor anak buaya julung-julung ialah RM60,000 seekor, manakala kura-kura jenis Indian Eyed Turtle bernilai RM1,350 (seekor).

Iklan

Katanya, kes berkenaan jarang berlaku dan spesies yang dirampas mempunyai nilai tinggi selain melibatkan sindiket penyeludupan hidupan liar di peringkat antarabangsa.

"Dipercayai hidupan liar ini dibawa masuk ke dalam negara sebagai transit sebelum dibawa ke negara lain," ujarnya.

Anak buaya julung-julung dipercayai disembunyikan dalam ruangan khas bagi mengaburi pihak berkuasa.

Tambah Mohd Yusoff, sehingga 17 September, WCB/PSK telah melaksanakan 135 serbuan di seluruh negara dengan tangkapan 384 orang serta rampasan bernilai RM420 juta.

"Pelbagai kesalahan direkodkan iaitu melibatkan penyeludupan barang tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan bersubsidi serta penyeludupan hidupan liar," katanya.

Tegasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited menguatkuasakan undang-undang dan menjalankan operasi bagi mengekang sebarang aktiviti penyeludupan.

"Orang ramai dialukan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan hidupan liar kepada pihak WCB/PSK JKDNKA melalui emel wcbpsk_rmp.gov.my," ujarnya.