GISBH: Pastikan tidak berlaku di Pahang - Al- Sultan Abdullah

Iklan
Al-Sultan Abdullah ketika bertitah pada persidangan pengetua dan pengusaha maahad tahfiz, madrasah dan pondok peringkat Negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur pada Rabu.

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah agar memastikan tiada kes manipulasi agama dan penderaan kanak-kanak berlaku di Pahang.

Baginda bertitah demikian merujuk kepada insiden menggemparkan masyarakat melibatkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Kebelakangan ini, kita sibuk isu GISBH yang mengejutkan satu Malaysia dan ini melibatkan kanak-kanak, anak-anak kita.

"Saya berharap dan berdoa supaya perkara ini tidak berlaku di Pahang. Saya ingin membuat sedikit ingatkan, jauhi perbuatan seperti ini.

Iklan

"Saya sama sekali tidak akan mengizinkan perkara-perkara yang mendorong dan mencemar nama baik agama Islam ini dibiarkan berlaku di Pahang," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah mencemar duli merasmikan persidangan pengetua dan pengusaha maahad tahfiz, madrasah dan pondok peringkat negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur di sini pada Rabu.

Iklan

Baginda diiringi anakandanya, Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Al- Sultan Abdullah bertitah, golongan ini berhak mendapatkan tempat tinggal yang bersih, makanan berkhasiat dan mendapat layanan yang sewajarnya.

Baginda turut memberi amaran agar, mereka tidak diperlakukan seperti haiwan ternakan.

”Anak-anak kita adalah satu aset kepada negeri ini, keluarga dan masyarakat.

”Jangan kita ambil sambil lewa sahaja, Tempat tinggal tidak bersih, makanan tidak berkhasiat. Mereka ini ada ibu dan ayah, bukan anak ayam.

"Jadi, jangan kita beri layanan seperti ini. Anak ayam ada pembela dengan baik, penternak dengan baik. Ini pula anak kita yang kita sayangi," titah baginda lagi.

Pada Rabu lalu, seramai 402 kanak-kanak diselamatkan hasil serbuan polis ke atas 20 rumah amal milik GISBH, di Selangor dan Negeri Sembilan.

Menurut polis sebanyak 41 laporan polis telah dibuat terhadap GISBH sejak 2011 hingga September 2024 dan GISBH kini disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Antipemerdagangan Orang Antipenyeludupan Migran 2007, dan Kanun Keseksaan.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah bertitah mahu kesemua maahad tahfiz, madrasah dan pondok di negeri ini berdaftar dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (MUIP).

"Saya difahamkan ada 189 maahad tahfiz, madrasah dan pondok di negeri ini dan hanya 134 yang berdaftar dan ada 55 yang masih belum berdaftar dan dalam proses untuk mendaftar.

"Saya harap semua dapat berdaftar di bawah naungan MUIP," titah baginda.

Baginda turut menyentuh tentang kualiti keselamatan anak-anak pondok dan tahfiz yang perlu menjadi keutamaan institusi pendidikan Islam negeri.

Justeru, baginda tidak mahu lagi berlaku insiden kebakaran berlaku di institusi berkenaan di negeri ini.

"Sekurang-kurangnya enam kejadian kebakaran melibatkan maahad tahfiz, madrasah dan pondok telah berlaku berpunca dari masalah pendawaian elektrik antara tahun 2017 sehingga tahun 2022 lalu," titah baginda.