Sukan SEA 2025: Enam sukan berpotensi pingat kembali dipertandingkan

Iklan
Mohd Nazifuddin. Foto Bernama

ENAM jenis sukan, iaitu tenpin boling, angkat berat, wushu, karate, jujitsu dan kabaddi yang digugurkan sebelum ini disenaraikan semula pada Sukan SEA 2025 di Thailand.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib berkata, pihaknya juga sedang berusaha mengemukakan rayuan untuk menyenaraikan semula sukan boling padang pada temasya itu.

Iklan
Iklan

"Kita ada bermesyuarat dengan pihak penganjur bersama Persekutuan Sukan SEA Games (SEAGF) pada 5 September lepas untuk mengemukakan rayuan bagi beberapa sukan yang tidak tersenarai awal untuk dipertandingkan dalam Sukan SEA Thailand.

"90 peratus rayuan yang dikemukakan MOM diterima baik oleh tuan rumah dan diluluskan untuk dipertandingkan kerana mereka menyasarkan 50 sukan, melibat 550 acara,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Iklan

Pada Jun lepas, MOM memaklumkan akan mengemukakan rayuan kepada SEAGF untuk memasukkan beberapa sukan berpotensi pingat bagi Malaysia dalam temasya sukan berprestij itu selepas Thailand mencadangkan 40 sukan untuk dipertandingkan di Bangkok, Chonburi dan Songkhla.

Ketika itu, sukan karate dan wushu yang merupakan lubuk pingat emas negara, termasuk jujitsu, boling padang dan sukan angkat berat telah dikeluarkan daripada senarai di Sukan SEA ke-33 yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember depan.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Nazifuddin berkata, keputusan sama ada boling padang akan dipertandingkan dijangka diketahui dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 5 Oktober ini.

"Boling padang memang satu daripada sukan yang diminta oleh pihak Majlis Sukan Negara (MSN) untuk kita rayu dipertandingkan di Sukan SEA.

"Jadi, kita masih berusaha untuk membuat rayuan bersama beberapa sukan lain seperti sukan tarian, luncur udara dan jet ski,” katanya.

Kali terakhir boling padang dipertandingkan pada temasya Sukan SEA adalah pada edisi 2019 di Filipina dengan skuad negara menyapu bersih empat pingat emas dan dua gangsa daripada enam acara dipertandingkan. - Bernama