KLUANG - Tidak ada unsur sabotaj meskipun tiada calon yang dipilih dalam kalangan Wanita UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota kali ini.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pihaknya akan memberikan sokongan tidak berbelah bagi memenangkan calon Barisan Nasional (BN), pada PRK kali ini.
"Fokus kita untuk membantu memenangkan calon Barisan Nasional (BN) dan kami sebagai jentera parti akur (walaupun calon bukan dipilih daripada kuota wanita UMNO).
"Seperti biasa wanita UMNO akan terus bantu memenangkan calon BN,” katanya.
Noraini berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan menziarahi rumah bekas Bendahari UMNO Cawangan Ilham, Datuk Amar Mat Jaafar, 78, di Taman Ilham di sini, pada Rabu.
Noraini berkata demikian bagi mengulas dakwaan Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Mohd Solihan Badri berhubung dakwaan berlakunya perpecahan dalam kalangan jentera BN kerana calon wanita tidak dipilih pada PRK DUN Mahkota.
Noraini turut menafikan berlaku perpecahan dalam kalangan jentera BN dan mengatakan keadaan itu sebenarnya sedang berlaku dalam jentera Perikatan Nasional (PN).