KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) telah membuat penolakan terlalu awal dan tidak matang terhadap draf memorandum persefahaman (MoU) yang dikemukakan Kerajaan Perpaduan berhubung peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.
Penganalisis politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, sebagai pihak yang memerintah, draf itu sudah pastinya mempunyai kepentingan politik bagi kerajaan namun, ia masih boleh dirundingkan lagi sehingga mencapai kata persetujuan.
"Ini merupakan proses biasa. Semasa pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang turut dianggotai oleh Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk menandatangani perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) dengan kerajaan untuk tidak mengusulkan perubahan kerajaan, sehingga menjelang pilihan raya.
"Jadi PN, sama ada Pas atau Bersatu sepatutnya sudah tahu hal ini (kepentingan politik) kerana mereka pernah berada di pihak kerajaan,” katanya kepada Bernama.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengesahkan PN menolak cadangan MoU itu kerana mendakwa ia bertentangan dengan beberapa perkara termasuk berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan mengongkong kebebasan.
Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, MoU itu jika berjaya dimeterai, memberi makna besar kepada negara kerana dengan mewujudkan kestabilan dalam landskap politik, sekurang-kurangnya sehingga menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
"...tetapi agak mengecewakan apabila ia gagal di pertengahan jalan, sedangkan banyak negara lain telah maju dari segi ekonomi dan aspek lain. Kita pula terus berpolitik sehingga cenderung melupakan kepentingan rakyat dan negara, yang seharusnya diberi keutamaan besar,” katanya.
Sependapat dengan Mohd Yusri, Pensyarah di Pusat Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis, Muhammad Izmer Yusof mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu pasukan petugas untuk menyemak dan membincangkan syarat-syarat dalam MoU tersebut dengan lebih lanjut.
Katanya ini penting untuk memberikan merit urus tadbir yang baik kepada kerajaan seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri dan untuk mengelakkan tanggapan bahawa kerajaan terlalu ‘keras’ dalam berdemokrasi dengan pembangkang.
"Kerajaan menawarkan MoU ini sebagai isyarat niat baik walaupun ia mungkin bertentangan dengan prinsip PN. Ini adalah perkara biasa dalam politik. Kerajaan juga tidak akan memberikan 'free ride' kerana kepentingan kerajaan adalah kestabilan, yang harus dilihat sebagai timbal balik. Tambahan pula, kerajaan Madani adalah sebuah kerajaan yang progresif,”
"Oleh itu, jika isu ini ditangani dengan baik dan dipersetujui, ia menjadi merit kepada urustadbir kerajaan yang cemerlang manakala di pihak pembangkang, mereka boleh mendapatkan peruntukan selain akan lebih toleran dengan kerajaan pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, pengasas jurisprudens watan di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), Datuk Prof Madya Dr Wan Ahmad Fauji Hashim Wan Hussain berkata, sebarang syarat dalam MoU mestilah bersifat memupuk pembinaan jati diri mengikut semangat sumpah kewarganegaraan dalam Jadual Pertama Perlembagaan Persekutuan, bukannya seruan kesamarataan yang bercanggah dengan prinsip kedaulatan dan keluhuran perlembagaan.
"Ini kerana kesaksamaan yang dibenarkan tidak boleh diterjemahkan sebagai kesamarataan, sebaliknya kesaksamaan itu adalah keadilan dalam pelaksanaan aspek diskriminasi yang dibenarkan oleh perlembagaan.
"Sebab itu, sesiapa yang memegang tampuk kerajaan wajib adil pada semua rakyat. Walaupun dalam MoU ada disebut berpandukan Perlembagaan, namun istilah yang membawa maksud penghapusan elemen diskriminasi yang dijamin melalui peruntukan Perkara 3(4), 8(2), dan 8(5) adalah bercanggah dengan Perkara 4 Perlembagaan,” katanya. - Bernama