Dua geran bantu agropreneur muda mula, kembang projek pertanian dilancar

Iklan
Arthur

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada Rabu melancarkan Geran 'Start-Up' dan 'Scale-Up' bagi membantu golongan muda dalam sektor pertanian dan agromakanan mengurangkan kos permulaan serta mengembangkan projek pertanian.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup dalam kenyataan berkata, Geran Start-Up merupakan penambahbaikan kepada Geran Agropreneur Muda yang ditawarkan kementerian itu sebelum ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, melalui geran baharu itu nilai bantuan dalam bentuk barangan dinaikkan kepada RM30,000 berbanding RM20,000 sebelum ini, selain had umur yang dahulunya dari 18 hingga 40 tahun kini dinaikkan kepada 43 tahun.

"Geran Scale-Up pula diperkenal bagi menyokong agropreneur yang kekal aktif dan berdaya maju dalam sektor agromakanan khususnya projek huluan seperti tanaman, ternakan dan perikanan.

Iklan

"Melalui inisiatif tersebut, KPKM menyediakan bantuan lanjutan hingga RM50,000 kepada mereka yang pernah menerima Geran Agropreneur Muda untuk mengembangkan projek pertanian," katanya.

Arthur berkata, Geran Scale-Up terbuka untuk dipohon oleh agropreneur berusia 21 hingga 45 tahun bagi membiayai penggunaan agroteknologi seperti pertanian persekitaran terkawal (CEA), pertanian bandar serta teknologi Internet kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan (AI).

Iklan

Beliau berkata, sebanyak 9,754 agropreneur muda telah mendapat kelulusan geran dengan nilai dalam bentuk barangan RM178.5 juta setakat ini.

"Bantuan insentif yang disediakan ini satu daripada usaha KPKM untuk meremajakan sektor pertanian dan secara tidak langsung memastikan agenda keterjaminan negara dapat dicapai,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai kedua-dua geran tersebut serta Program Agropreneur Muda boleh didapati di laman web rasmi kementerian itu iaitu www.kpkm.gov.my. - Bernama