Banjir Perlis, Pulau Pinang: Mangsa masih berlindung di PPS

Iklan
Mangsa banjir yang ditempatkan di dua PPS di Perlis.

KANGAR - Hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu yang menyebabkan beberapa kawasan sekitar Arau dan Kangar dilanda banjir mengakibatkan 13 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa berkata, dua PPS dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sena, Kangar dan SK Arau sejak Selasa.

Iklan
Iklan
Ku Chik

Menurutnya, hujan berterusan selama dua hari dengan kadar curahan yang tinggi menyebabkan kawasan rendah dinaiki air.

"Di SK Sena menempatkan 10 mangsa daripada lima keluarga sementara di SK Arau terdapat 33 mangsa terdiri dari lapan keluarga, menjadikan keseluruhannya 43 mangsa terjejas,” katanya ketika ditemui di PPS SK Arau, pada Rabu.

Iklan

Ku Chik berkata, penduduk yang ditempatkan di PPS SK Sena adalah penduduk dari sekitar Kampung Tok Kandang dan Kampung Bakau.

"PPS SK Arau pula menempatkan penduduk dari Kampung Titi Besi, kuaters MADA dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Iklan
Ahmad

Mangsa banjir yang berpindah ke PPS SK ARAU, Ahmad Yahaya, 76, berkata, sudah biasa mengharung banjir setiap kali berlaku hujan lebat berterusan.

"Memang banjir dua kali dah. Rumah saya tiap-tiap tahun dinaiki air sebab kawasan itu memang kawasan banjir, kalau Kampung Titi Besi di situ lah air naik, selepas hujan sejam pun dah cukup, air pasti naik,” katanya.

Tinjauan dilakukan sekitar Kampung Titi Besi mendapati air mulai surut menjelang petang namun beberapa kediaman masih ditakungi air.

Sebahagian mangsa dipindahkan dari rumah ke PPS untuk keselamatan diri.

Difahamkan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis telah mengambil tindakan segera dengan memasang pam air untuk menyedut keluar air dari kawasan kediaman untuk dialirkan ke sungai.

Penduduk Kampung Titi Besi, Rusli Yusuf, mengambil keputusan untuk tidak berpindah ke PPS memandangkan keadaan persekitaran rumah dua tingkat yang didudukinya tidak seburuk banjir semalam.

"Air masih bertakung di halaman, setakat ini rumah kami masih selamat. Saya dan keluarga akan berada di rumah saja, kami bersedia pindah jika perlu,” katanya.

Sementara, Jabatan Kesihatan Perlis mengambil inisiatif melakukan saringan kesihatan terhadap mangsa yang dipindahkan ke PPS bagi memastikan kesihatan mangsa banjir terjamin, terutama kanak-kanak dan warga emas.

Difahamkan, pasukan kesihatan turut menjalankan operasi sanitasi di kawasan PPS bagi memastikan kebersihan dan keselesaan mangsa banjir.

Antara rumah yang rosak dilanda ribut.

Dalam pada itu, Perlis turut dilanda ribut dan angin kuat di beberapa kawasan menyebabkan 29 buah rumah rosak dalam kejadian tersebut.

Ku Chik berkata, kejadian ribut menyebabkan kebanyakan rumah mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan dinding, dengan beberapa kediaman mengalami kerosakan lebih serius.

"Semalam (Selasa) ada 23 kes aduan berkaitan ribut, pegawai JKM sudah turun ke rumah terlibat dan membuat penilaian, terbaharu (Rabu) ada lagi enam aduan, menjadikan semuanya sebanyak 29 kes ribut,” katanya.

Menurutnya, antara kawasan terjejas adalah Kayang, Beseri, Kuala Perlis dan Sanglang serta beberapa kawasan sekitarnya.

"Bantuan segera sedang disalurkan kepada mangsa terlibat melalui peruntukan kerajaan negeri, JKM dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), iaitu bantuan pemulihan kediaman yang rosak akibat ribut,” ujarnya.

Ribut turut menyebabkan berlakunya pokok tumbang di beberapa kawasan, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis menyelesaikan 21 kes kecemasan pokok tumbang yang menimpa rumah dan menghalang beberapa laluan jalan raya.

615 mangsa banjir di Pulau Pinang masih berlindung di 10 PPS

Sementara itu di BUTTERWORTH, PULAU PINANG, seramai 615 penduduk daripada 166 keluarga masih ditempatkan di 10 PPS yang dibuka setakat jam 4 petang pada Rabu.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang, satu PPS di Dewan Bukit Teh di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) yang sebelum ini menempatkan 11 keluarga telah ditutup selepas mereka dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Daerah Seberang Perai Utara (SPU) antara kawasan yang terjejas teruk apabila seramai 433 mangsa daripada 110 keluarga dipindahkan ke empat PPS.

Kesemua mangsa ditempatkan di Dewan banjir Labuh Banting, Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi, Sekolah Agama Rakyat Ar-Ridwan Nyior Sebatang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Menora.

Sehingga petang tadi, tinjauan mendapati beberapa kampung antaranya Kampung Seberang Tok Dooi, Kampung Lahar Yooi, Kampung Cegar dan Kampung Lubuk Meriam masih digenangi air banjir.

Di Seberang Perai Tengah (SPT) sebanyak 120 orang mangsa dari 32 keluarga masih ditempatkan di empat PPS.

Manakala di Seberang Perai Selatan (SPS) sebanyak dua PPS masih dibuka yang menempatkan 62 mangsa daripada 24 keluarga.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sebelum ini berkata, taburan hujan lebat direkodkan mencecah 110 milimeter per jam sehingga berlaku banjir kilat membabitkan 43 kawasan di SPT dan 28 kawasan di SPS.

Katanya, situasi banjir masih dipantau Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak yang berkuat kuasa sehingga Khamis ini.