SHAH ALAM - Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu ketiga yang akan diadakan pada 23 dan 24 September 2024 di Hotel IDEAS, Kuala Lumpur memfokuskan bagi meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama di peringkat ASEAN dan antarabangsa.
Pengerusi Aspirasi Bahasa 2024, Dr Kamarazaman Yacob berkata, simposium yang akan diadakan selama dua hari itu adalah hasil inisiatif Ikhtisas Kepimpinan Kamarazaman (IKK) bersama-sama Kursi Pengajian Melayu dan Peradaban Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob Thai Global Business Administration Technological College (TGBC) Thailand.
Menurutnya, simposium antarabangsa itu juga turut mendapat kerjasama daripada Rajamangala University of Technology (RMUTT) Thailand dan Asia Lecturers Teachers Community (ALTC) Indonesia.
"Kali pertama diadakan pada Mei 2022 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur dan yang seterusnya pada September 2023 di Hotel UCSI, Kuala Lumpur.
"Fokus utama Aspirasi Bahasa 2024 adalah bagi meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama di peringkat ASEAN dan antarabangsa selain mahu terus memperkasa dan memperbaiki kelompongan penggunaan Bahasa Melayu di dalam negara terutama dalam sistem pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Simposium Antarabangsa ini akan diadakan pada jam 9 pagi hingga 4.30 pada hari pertama, manakala hari kedua bermula jam 8.30 pagi dan tamat 1 tengah hari.
Berbeza dengan puisi yang akan diadakan pada waktu malam iaitu pada jam 8.30 hingga 10.30 malam.
Simposium bertemakan 'Bahasa Membina Bangsa' itu akan dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan turut mendeklamasikan sebuah puisi pada Malam Puisi Mengukir Bangsa.
Selain itu, sempena simposium tersebut akan turut diadakan Malam Puisi Mengukir Bangsa ketiga lanjutan daripada Malam Gema Puisi 2023 dan Malam Kemuncak Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia pada 2022.
Tambah Kamarazaman, dalam masa sama ia akan menghimpunkan tokoh dan pejuang bahasa, ahli akademik serta aktivis dari dalam luar negara.
"Ia bagi menyuarakan pandangan dan idea terhadap pemerkasaan Bahasa Melayu sama ada di dalam negara atau sehingga ke peringkat antarabangsa.
"Tahun ini kita telah berjaya menarik beberapa tokoh pejuang bahasa seperti Penerima Anugerah SEA Write 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman dan aktivis sosial, Hishamuddin Rais sebagai moderator serta panel," katanya.
Pendaftaran bagi simposium ini masih dibuka dan pengesahan penyertaan boleh dibuat melalui https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLScDCUzHcs7kELyNiEjaWhJp8OgRlCFdhwpC92cr7ReE93zPxA/viewform