IDEAS syor pembangkang tuntut akta CDF untuk ikat kerajaan

Iklan
Aira Azhari

SHAH ALAM - Pihak pembangkang perlu menuntut satu akta pengagihan peruntukan dana pembangunan kawasan (CDF) dibentangkan bagi mengikat semua kerajaan pada masa hadapan dan menghentikan penggunaannya sebagai senjata politik.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Aira Azhari berkata, ketika ini memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang telah menjadi alat rundingan politik yang melemahkan demokrasi.

Iklan
Iklan

"Kami ingin menegaskan bahawa pengagihan CDF tidak seharusnya tertakluk kepada sebarang rundingan kerana semua ahli Parlimen harus menerima peruntukan dengan saksama, beserta syarat telus dalam perbelanjaan peruntukan tersebut.

"Kaedah terbaik untuk menginstitusikan ini adalah melalui undang-undang yang IDEAS dan Bersih telah perjuangkan secara tekal,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan, pembangkang sebulat suara menolak MoU atas empat sebab utama apabila bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu serta bumiputera.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, draf MoU tersebut turut bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama.

Iklan

Dalam pada itu, Aira memaklumkan, IDEAS menggesa semua pihak untuk melihat melangkaui pengagihan CDF semata-mata dan menuntut penambahbaikan jangka panjang terhadap status quo.

Ujarnya, Akta Pendanaan Politik mesti dibentangkan dengan pembiayaan awam kepada parti politik sebagai salah satu tonggaknya.

"Perlu ada perbincangan mendalam mengenai kesinambungan mekanisme CDF semasa dan mempunyai langkah untuk beralih kepada satu sistem.

"Sistem CDF itu tidak lagi diagihkan kepada wakil rakyat, tetapi kepada kerajaan tempatan yang dipilih dan akan melibatkan perubahan menyeluruh dalam cara pengundi melihat wakil mereka serta perubahan holistik dalam cara politik beroperasi,” katanya.

Tambah Aira, penting untuk ahli politik mengutamakan reformasi institusi membantu mencegah budaya 'sapu bersih' yang telah melumpuhkan politik kita agar demokrasi pelbagai parti di Malaysia benar-benar matang dan melangkaui pertelingkahan partisan.