Saifuddin didakwa ketepi protokol, etika dan adab dalam kenyataan rasmi

Iklan
Takiyuddin

KUALA LUMPUR – Pas menganggap kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai biadab kerana didakwa mengenepikan protokol, etika dan adab dalam kenyataan rasmi.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, menyebut nama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hanya sebagai Hadi Awang atau Abdul Hadi Awang pada sebutan pertama merupakan pelanggaran protokol dan adab yang tidak boleh diterima sekali.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia adalah perbuatan biadab dan tidak hormat bukan sahaja terhadap individu berkenaan tetapi juga kepada pemberi anugerah gelaran itu sendiri.

"Hakikat bahawa ia dilakukan dalam komunikasi rasmi seorang menteri Kabinet sebuah kerajaan yang kerap bercakap tentang budaya unggul dan akhlak murni.

Iklan

"Persoalan penting dalam hal ini ialah sama ada sikap biadab dan memalukan ini akan menjadi ciri kekal pemimpin-pemimpin kerajaan kini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan yang sebelum ini mendakwa Muktamar Tahunan Ke-70 Pas adalah kemuncak politik kebencian membiakkan budaya fitnah, mencerca dan memaki hamun kepimpinan Abdul Hadi.

Iklan

Jelasnya, tanpa tindakan tegas terhadap menteri terbabit, Pas percaya keterlanjuran jelek seperti ini akan menjadi kelaziman yang dibiasakan oleh kerajaan hari ini.

Selain itu, Takiyuddin turut mempertikaikan kenyataan yang ditandatangani oleh menteri itu atas kapasiti rasmi beliau sebagai Menteri Dalam Negeri serta kedudukannya sebagai Ketua Setiausaha Pakatan Harapan.

"Sejak bilakah dua kedudukan ini boleh digandingkan dalam kenyataan rasmi kerajaan dengan menggunakan kepala surat rasmi kementerian pula?

"Apakah di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini, garis pemisah antara tugas-tugas rasmi kerajaan dengan peranan politik seseorang sudah diketepikan dan tidak dihormati lagi?” soalnya.

Tambahnya, apakah ini juga memberi gambaran bahawa campur aduk antara fungsi kerajaan dengan fungsi politik yang jelas merupakan suatu bentuk salah guna kuasa akan berterusan dan menjadi wajah kekal kerajaan?